Mampukah Nur Dhabitah tersenyum semula?

Nur Dhabitah Sabri
Nur Dhabitah Sabri
A
A
A

SEDIH, terkejut dan tak tau nak kata apa. Itulah gambaran emosi penerjun negara Nur Dhabitah Sabri selepas pengumuman bahawa jurulatihnya, Christian Brooker akan meninggalkan kem latihan terjun negara tidak lama lagi.

Beliau yang menanggap jurulatih dari Australia seperti ‘ayahnya sendiri’ dalam sukan terjun, atlet berusia 22 tahun itu berkata, pemergian Brooker akan menjadi satu kehilangan besar kerana jurulatih itulah yang telah membuatkan beliau kembali jatuh cinta dengan sukan terjun semula, selepas beliau kecewa dengan sukan itu suatu ketika dahulu.

Nur Dhabitah berkata, ini kerana beliau hampir bersara daripada sukan terjun lebih setahun lepas.

Sebaliknya, kata-kata semangat Brooker ‘never say die’, yang membuatkan dirinya kembali dan memulakan semula dalam sukan terjun.

“Beliaulah penyebab saya untuk minat sukan terjun semula. Saya hampir berhenti dan merasakan yang sukan terjun sesuatu yang tidak berguna, selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Ia amat tertekan sekali untuk berlatih di bawah konsep gelembung sukan dan dalam keadaan saya terpaksa berpisah dengan keluarga untuk sementara membuatkan saya berasa sedih. Tetapi saya gembira kerana Brooker sentiasa ada dan beliau sentiasa menggalakkan dan menaikkan semangat saya untuk penyertaan di Jepun,” katanya.

Anak Kuala Lumpur itu berkata, beliau tentunya akan rasa kehilangan jurulatih berusia 40 tahun itu kerana amat mudah berkomunikasi dengannya dan mudah untuk berkongsi masalahnya dengan jurulatih itu, sama ada berkaitan sukan itu mahupun isu peribadi.

Malah, Nur Dhabitah yang telah berada di bawah pengawasan Brooker sejak tahun 2018 mengakui yang beliau tidak pernah mengalami masa bosan dengan beliau dan menghargai cara beliau menerapkan elemen menarik dan tidak membosankan dalam sesi latihan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Beliau amat suka memberikan sokongan, dia tidak kasar dengan kami - apa lagi menggunakan perkataan yang kasar ketika berlatih. Beliau sentiasa berikan saya dan penerjun lain kebebasan dan senang untuk berbincang mengenai apa perubahan yang kami rasakan sesuai, untuk kami sebagai penerjun.

“Saya suka bagaimana beliau menguruskan situasi di Olimpik Tokyo baru-baru ini, beliau tidak merungut dan masih memberikan maklum balas yang positif walau apa pun hasilnya,” katanya.

Walaupun tidak dapat membawa pulang pingat untuk negara dalam penyertaan keduanya di Olimpik Jepun, Nur Dhabitah mencuri hati rakyat Malaysia dengan prestasinya yang baik dan senyuman menawannya pada setiap terjunannya di Pusat Akuatik Tokyo, bulan lepas.

Beliau hampir membawa pulang pingat gangsa acara terjun papan anjal 3 meter (m) individu akhir selepas menduduki tempat keempat dengan 326.15 mata, di belakang juara bertahan Shi Tingmao (383.50 mata), Wang Han (348.75) kedua-duanya dari China dan atlet Amerika Syarikat Krysta Palmet (343.75 mata).

Ditanya mengenai sesi latihan terakhirnya bersama Brooker Isnin lepas, pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu berkata, Brooker gembira untuk melihat prestasi atletnya pada masa ini, dan menyatakan kepada para penerjun yang mereka masih boleh menghubunginya jika mereka memerlukan nasihat darinya.

Dalam masa sama, Nur Dhabitah berharap jurulatih yang selepas ini akan terbuka untuk menerima cadangan dan mudah untuk berkomunikasi dan dapat membina persefahaman yang baik dengan beliau dan rakan sepasukan.

Baru-baru ini, media melaporkan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan menyambung kontrak Brooker sebagai jurulatih untuk pasukan elit terjun, yang dikatakan tamat selepas bulan ini.

Dipercayai kegagalan untuk penerjun lelaki layak ke Olimpik Tokyo merupakan antara sebab mengapa keputusan itu dibuat terhadap Brooker, yang telah dibawa masuk bagi membantu jurulatih dari China Zhang Yukun selepas bekas ketua jurulatih Yan Zhuliang meninggalkan pasukan negara lewat 2017.

Tokyo Olimpik menjadi medan pertama sejak Sydney 2000 menyaksikan penyertaan Malaysia di Olimpik tanpa aksi atlet terjun lelaki. - Bernama