X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Tujuh projek tebatan banjir akan dilaksana di Pulau Pinang

Mansor Othman
A
A

BALIK PULAU - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM259.5 juta bagi melaksanakan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pulau Pinang yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, daripada tujuh projek berkenaan, enam adalah projek sambungan RTB manakala satu projek baharu yang akan membawa pelbagai manfaat kepada penduduk, khususnya dalam menangani isu banjir kilat di negeri ini.

"Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui agensi pelaksana termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan tujuh projek tersebut yang kini masih dalam pelbagai fasa kerja antaranya proses pelantikan perunding bagi reka bentuk terperinci, kerja ukur, penyiasatan tanah, panggilan tender kerja dan tempoh pembinaan projek itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke RTB Pondok Upeh/Sungai Burong, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, antara RTB yang sedang dilaksanakan ialah RTB Lembangan Sungai Pinang membabitkan kos RM150 juta, RTB Sungai Kechil (RM16.8 juta), RTB Pondok Upeh/Sungai Burong (RM10 juta) RTB Sungai Dua melibatkan peruntukan RM45 juta dan kesemua projek tersebut dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

"Selain itu, KASA juga sedang menjalankan kajian keberkesanan RTB di Pulau Pinang yang akan dijadikan projek perintis bagi projek RTB di seluruh negara dalam usaha memastikan pelaksanaan lancar dan impaknya memberi manfaat kepada rakyat.

"Menerusi kajian itu, Pulau Pinang akan menjadi model kepada negeri-negeri lain untuk projek RTB dan kita dapat membuat penilaian serta penambahbaikan untuk projek (RTB) di negeri lain berdasarkan kajian tersebut," katanya.

Sementara itu, Mansor berkata, RTB Pondok Upeh/Sungai Burung yang dilawatinya hari ini dijangka dilaksanakan pada tahun depan dengan kos keseluruhan RM10 juta bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di penempatan penduduk kawasan Sungai Burong, Kampung Pondok Upeh, Jalan Lintang Pondok Upeh, Jalan Genting, Jalan Balik Pulau dan Kampung Pulau Betong.

Katanya, selain itu, RTB Teluk Kumbar membabitkan nilai RM10 juta yang dilaksanakan pada 2019 itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober yang akan dapat menangani masalah banjir yang sering dihadapi kira-kira 80,000 penduduk di Kampung Nelayan, Kampung Sulup, Kampung Paya dan Kampung Masjid.

"Pelaksanaan kedua-dua projek RTB itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berisiko banjir, malah ia juga dapat mengurangkan perpindahan penduduk sehingga 80 peratus,” katanya sambil berharap kerosakan harta benda akibat banjir juga dapat dikurangkan melalui pelaksanaan projek RTB tersebut," ujarnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!