X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

SK Chuping digazetkan lokasi tidak selamat diduduki: Exco Perlis

Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping, Padang Besar. Gambar kecil: Rozieana Ahmad
A
A

PADANG BESAR - Murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping perlu memulakan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer buat sementara berikutan kawasan sekolah berkenaan disahkan tidak selamat untuk diduduki.

Exco Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Perlis, Rozieana Ahmad berkata, SK Chuping telah digazetkan sebagai lokasi tidak selamat berikutan terdapat mendapan di kawasan padang sekolah dan boleh mengundang risiko kepada murid-murid.

Menurutnya, atas faktor keselamatan itu, semua 260 murid di sekolah berkenaan perlu dipindahkan dan meneruskan persekolahan di SMK Mata Ayer untuk tempoh tertentu.

“Dari segi struktur bangunan sekolah, memang disahkan selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) namun hasil kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesahkan ada berlaku mendapan tanah.

Kita tidak boleh tunggu sekolah baharu dibina baru berpindah, proses pemindahan sementara perlu dilakukan segera,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Rozieana berkata, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Chuping sebelum ini bagi mencapai konsensus berhubung perkara tersebut.

“Atas saranan daripada kerajaan negeri melalui beberapa siri Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, tindakan segera diambil dengan mengutamakan keselamatan terhadap warga sekolah.

Aspek keselamatan memang diberikan keutamaan terutama selepas persekitaran sekolah itu sudah digazetkan sebagai tidak selamat,” katanya.

Menurut Rozieana, pihaknya tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku seperti kejadian tanah jerlus di Kem Oran sebelum ini, dan insiden itu dijadikan sebagai panduan.

“Di kawasan sekolah lebih bahaya. Kita bimbang ketika sesi pengajaran, berlaku pula perkara tidak diingini,” katanya.

Tambah Rozieana lagi, JPN Perlis sedang menguruskan perpindahan sementara murid ke SMK Mata Ayer sebagai persediaan memulakan sesi persekolahan pada 4 Oktober depan.

“Sekiranya ada ibu bapa mahu pindahkan anak mereka ke sekolah lain berhampiran, ia dibenarkan. JPN sediakan data murid terlebih dahulu sebelum proses perpindahan dilakukan. Waris boleh rujuk kepada JPN berhubung perpindahan ini,” katanya.

Menurutnya lagi, JPN Perlis juga sudah mengenal pasti tapak sesuai di kawasan Chuping untuk pembinaan sekolah baharu selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

BERITA BERKAITAN: KPM diminta beri penjelasan tindakan tutup SK Chuping


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!