KPDNHEP Kelantan keluar 34 surat minta peniaga turunkan harga ayam

Adnan (kiri) turut serta membuat pemantauan harga ayam di sebuah lokasi di sini.
Adnan (kiri) turut serta membuat pemantauan harga ayam di sebuah lokasi di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengeluarkan 34 surat pemberitahuan kepada peniaga supaya menurunkan harga ayam ke paras yang munasabah.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 34 surat pemberitahuan telah dikeluarkan dan 33 peniaga bersetuju untuk menurunkan harga ayam sekitar 10 sen sehingga 50 sen bagi setiap kilogram.

"KPDNHEP Kelantan telah membuat pemantauan serta pemeriksaan harga ayam secara menyeluruh di seluruh negeri melibatkan semua peringkat rantaian pengedaran ayam termasuk peruncit, pemborong dan penternak.

"Hasil pemeriksaan mendapati peniaga ayam menjual di bawah harga RM9.50 dan terdapat juga beberapa premis yang menawarkan harga lebih rendah bergantung kepada harga bekalan diperoleh.

"Objektif surat ini dikeluarkan sebagai satu tindakan pemantauan kedudukan harga dan peringatan kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya dan seterusnya dapat menangani segera isu kenaikan harga yang tinggi di pasaran," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

KPDNHEP Kelantan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan pengguna mendapat harga yang munasabah tanpa menjejaskan peniaga selain mengelakkan manipulasi harga oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
KPDNHEP Kelantan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan pengguna mendapat harga yang munasabah tanpa menjejaskan peniaga selain mengelakkan manipulasi harga oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan di Kota Bharu mendapati harga jualan ayam tertinggi dikesan di Pasar Awam Ketereh dengan harga jualan runcit RM9.50.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, harga tersebut telah diturunkan sebanyak 50 sen selepas pendekatan baharu tersebut digunakan.

"Penurunan harga ini menunjukkan komitmen antara peruncit, pemborong serta penternak berikutan keluhan pengguna dan hasil pemeriksaan serta penguatkuasaan yang dijalankan oleh KPDNHEP Kelantan," katanya.

Adnan berkata, KPDNHEP Kelantan akan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan pengguna mendapat harga yang munasabah tanpa menjejaskan peniaga selain mengelakkan manipulasi harga oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Selain itu, pengguna juga dinasihatkan agar menggunakan aplikasi 'Price Catcher' untuk membuat perbandingan harga barang-barang keperluan di tempat masing-masing bagi penjimatan dan merancang pembelian.

"Pengguna juga boleh mengemukakan aduan dengan menghubungi KPDNHEP melalui saluran aduan yang sediakan.

"Antara salurannya ialah melalui Portal eaduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, aplikasi telefon pintar Ez ADU dan sebagainya atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP di seluruh Kelantan," katanya.