X

Kindly register in order to view this article
!

Pemberian ganjaran kepada atlet wajar diteruskan

Atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly memenangi pingat emas bagi acara lompat jauh T20 dengan lompatan sejauh 7.45 meter (m) pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik, 4 September lalu. FOTO: BERNAMA
A
A

PEMBERIAN ganjaran kepada atlet yang meraih kejayaan sangat penting sebagai habuan atas penat lelah serta pengorbanan mereka dalam mengharumkan nama negara di persada dunia.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin berkata, ketiadaan skim insurans untuk atlet menyaksikan ganjaran seperti RM1 juta kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik dan Paralimpik dapat menjadi 'penyelamat' sekiranya mereka ditimpa musibah.

"Setidak-tidaknya ganjaran itu mampu dijadikan simpanan di samping ganjaran-ganjaran lain yang diterima kerana atlet bila mengalami kecederaan sehingga menamatkan karier, itu adalah risiko kepada mereka.

"Ganjaran adalah motivasi untuk semua atlet dan saya setuju pihak kerajaan bagi dan benda ini (ganjaran) harus berlarutan. Selagi dalam sukan kita mesti memberi ganjaran supaya dapat memupuk semangat mereka untuk capai lebih banyak kejayaan," kata Megat Shahriman yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam Webinar Edisi Khas Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Universiti Teknologi Mara (UiTM): Inspirasi Perjuangan Dari Bumi Tokyo anjuran Pusat Sukan UiTM dengan kerjasama Pejabat Pengarah Pembangunan Pelajar UiTM, pada Rabu.

Turut menyertai webinar itu adalah jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang mencipta sejarah menjadi atlet berbasikal trek pertama negara merangkul pingat perak di temasya Olimpik di Tokyo, bulan lepas.

Sementara itu, Azizulhasni berkata atlet wajar mendapat ganjaran besar di kejohanan besar, namun pada masa sama mereka tidak seharusnya menjadikannya sebagai keutamaan memandangkan ganjaran merupakan sebahagian daripada motivasi ekstrinsik yang bersifat jangka masa pendek.

Beliau mengakui beberapa rakan atlet mengambil keputusan untuk berhenti daripada bidang sukan disebabkan merasai ganjaran yang diterima tidak setimpal.

"Kalau kita bertanding sebab nak menang wang ringgit dan kita berjaya, tetapi yang diterima tidak setimpal, kita akan kecewa dan berputus asa. Tetapi, kalau kita bersukan sebab nak jadi juara Asia dan Dunia, penumpuan lebih kepada itu.

"Apabila kita menang akan ada pihak yang datang memberikan insentif, sikit atau banyak kita akan rasa bersyukur sebab itu (ganjaran) pada kita macam satu bentuk motivasi tambahan," jelasnya.

Di bawah insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), mana-mana atlet negara yang berjaya membawa pulang pingat emas di Sukan Olimpik dan Paralimpik akan menerima ganjaran berjumlah RM1 juta dan pencen bulanan sepanjang hayat sebanyak RM5,000. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!