Grab Malaysia, KPDNHEP lancar Minggu Peniaga Kecil

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Grab Malaysia bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini melancarkan Kempen Minggu Peniaga Kecil untuk membantu perniagaan kecil makanan serta minuman tempatan berkembang secara dalam talian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kempen itu adalah sebahagian daripada Program Perniagaan Kecil GrabFood bagi membantu perniagaan tempatan menyesuaikan diri dengan norma baharu ketika permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan secara dalam talian.

Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan matlamat kementerian untuk membantu perniagaan mendepani cabaran semasa dan antara visi utama KPDNHEP ialah memastikan perdagangan lestari progresif yang memperkasa perniagaan serta memberi manfaat kepada pengguna.

"Dengan lebih 98.5 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana, kami digalakkan untuk melihat platform seperti Grab yang menyokong perniagaan kecil melalui teknologi dan pelbagai usaha dilaksanakan seperti promosi Minggu Peniaga Kecil.

"Kejayaan daripada projek perintis Grab Minggu Peniaga Kecil sangat memberangsangkan kerana ia adalah cara tambahan untuk meningkatkan perniagaan," katanya ketika melancarkan kempen itu yang diadakan secara maya.

Grab Malaysia dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan promosi Minggu Peniaga Kecil pada September dijangka mampu memanfaatkan hampir 39,000 perniagaan kecil manakala dari 24 hingga 30 September, pengguna Grab dapat menikmati diskaun 30 peratus untuk pesanan melebihi RM20 apabila menggunakan kod promo PENIAGAKECIL.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan laporan Rumusan Industri Penghantaran Makanan 2021, Malaysia mencatat jumlah pengguna baharu ketiga tertinggi bagi perkhidmatan secara dalam talian di Asia Tenggara. -Bernama

Artikel Berkaitan: