Bekalan elektrik 48 premis bakal dipotong

Medan Selera D'Rejang.
Medan Selera D'Rejang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 48 premis di Medan Selera D’Rejang, Setapak Jaya di sini berdepan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan tunggakan bil mencecah RM55,000.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, 19 daripada premis tersebut telah dikenakan tindakan tersebut pada Isnin lalu, sementara yang lain sepatutnya turut dikenakan tindakan sama namun ditangguhkan selepas kes itu dirujuk kepada DBKL.

Menurutnya, DBKL bersetuju menyelesaikan tunggakan tersebut namun pemilik atau penyewa premis terlibat perlu hadir membuat rundingan penjadualan semula bayaran dan membuat pertukaran nama akaun bil.

"Akaun bil elektrik ini di atas nama DBKL dan DBKL memutuskan untuk membuat pertukaran nama bil itu kepada nama peniaga atau penyewa. Notis berkenaan perkara itu telah dikeluarkan kepada peniaga dan tempohnya telah pun tamat.

"Namun, mengambil kira masalah dihadapi peniaga, DBKL bersetuju melanjutkan tempoh urusan itu sehingga 31 Disember ini. Selepas tempoh itu, penguatkuasaan akan menyusul, " katanya ketika bertemu wakil peniaga di Medan Selera D’Rejang, Setapak Jaya pada Rabu.

Jalaluddin berkata, DBKL juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh bayaran semula secara ansuran selama 12 bulan melibatkan peniaga yang mempunyai tunggakan RM10, 000 ke bawah manakala tunggakan RM10, 000 ke atas, tempoh pembayaran diberikan sehingga 24 bulan.

Jalaluddin (kanan) bertemu peniaga berhubung isu bekalan elektrik sebahagian premis di Medan Selera D'Rejang dikenakan tindakan pemotongan elektrik.
Jalaluddin (kanan) bertemu peniaga berhubung isu bekalan elektrik sebahagian premis di Medan Selera D'Rejang dikenakan tindakan pemotongan elektrik.

Jelasnya, kaedah ini juga terpakai kepada 1, 054 peniaga atau penyewa premis di kawasan lain yang mempunyai masalah sama.

Artikel Berkaitan:

"Permasalahan ini mula timbul selepas DBKL menerima senarai tuntutan tunggakan bil elekrtik daripada TNB berjumlah RM2. 3 juta bagi 1,054 unit atau akaun di bawah jabatan tersebut.

"Susulan itu, DBKL telah mengambil inisiatif menyelesaikan bil tunggakan tersebut dengan menyusun semula bil mengikut akaun bertunggakan tinggi dan membuat semakan di lapangan," katanya.

Jalaluddin berkata, DBKL kemudian telah membuat pemutihan dengan mengeluarkan notis tuntutan bayaran dan membuat pertukaran nama akaun daripada DBKL kepada peniaga.

"Notis pertama dalam tempoh 14 hari telah dikeluarkan disusuli notis peringatan terakhir selama tujuh hari.

"DBKL akan membuat pembatalan akaun serta penanggalan meter sekiranya peniaga atau penyewa gagal membuat pertukaran nama," katanya.