Bakar pondok polis gara-gara tidak puas hati SOP

Shafien (kiri) menunjukkan motosikal suspek yang dipercayai digunakan dalam kejadian membakar Pondok Polis Pasar Jelawat, Bachok pada Sabtu lalu.
Shafien (kiri) menunjukkan motosikal suspek yang dipercayai digunakan dalam kejadian membakar Pondok Polis Pasar Jelawat, Bachok pada Sabtu lalu.
A
A
A

BACHOK - Tindakan seorang lelaki bermotosikal membakar Pondok Polis Pasar Jelawat di sini pada Sabtu lalu didapati bermotifkan rasa tidak berpuas hati terhadap pihak berkuasa yang tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, perkara itu didedahkan oleh suspek keempat berusia 34 tahun mengaku bertindak sedemikian kerana dihasut oleh rakan-rakan lain selain menukar ‘cover set’ motosikal bertujuan menyembunyikan kesalahan itu.

Katanya, polis menahan buruh berkenaan di Kampung Gelong Badak, Jelawat pada jam 8.30 pagi, Selasa manakala tiga lagi rakan suspek berusia antara 24 hingga 37 tahun ditahan lebih awal selang beberapa jam selepas kejadian hingga Isnin.

“Hasil soal siasat awal, suspek keempat mengaku membakar Pondok Polis Pasar Jelawat akibat rasa tidak puas hati terhadap anggota yang mengeluarkan saman kepada orang awam kerana melanggar SOP.

“Suspek juga licik menukar ‘cover set’ motosikal yang digunakan daripada warna merah ke warna kuning, namun berjaya dikesan oleh polis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, di sini, pada Rabu.

Shafien (tengah) diiringi Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Balai Polis Jelawat, Sarjan Mejar Khalid Yusof.
Shafien (tengah) diiringi Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Balai Polis Jelawat, Sarjan Mejar Khalid Yusof.

Beliau selepas itu turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sepasukan anggota dan pegawai IPD Bachok yang berjaya menyelesaikan kes itu.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

Artikel Berkaitan:

Ujar Shafien, urin dua suspek didapati positif dadah jenis metamphetamine dan semakan menemukan rekod lampau bersabit kesalahan dadah.

“Sebuah motosikal jenis Yahama 125 ZR berwarna kuning dan ‘cover set’ yang sudah dileraikan ditemui di dalam sebuah rumah serta dirampas oleh pihak polis bertujuan siasatan.

“Kesemua suspek ditahan reman enam hari berkuatkuasa hari ini sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat guna api,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki bermotosikal membakar Pondok Polis Pasar Jelawat, Bachok pada Sabtu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Siasatan polis menemui sisa plastik mengandungi minyak petrol yang dipercayai digunakan dalam kejadian jam 3.12 pagi itu.