X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja di Kelantan divaksin minggu depan

Dr Zaini (dua dari kanan) bersama Dr Selasawati (dua dari kiri) menerima sumbangan 14 unit ‘oxygen concentrator' daripada Firma Guaman Afiq & Co di HRPZ II, Kota Bharu pada Rabu.
A
A

KOTA BHARU - Remaja di negeri Kelantan yang berusia 12 hingga 17 tahun akan memberikan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada minggu hadapan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin berkata, suntikan itu bertujuan meningkatkan tahap imunisasi kelompok dalam kalangan remaja sekaligus menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Suntikan ini akan diberikan berpandu kepada data pelajar yang dibekalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

"Ia termasuk data yang melibatkan pelajar di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan institusi pendidikan swasta di seluruh negeri ini," katanya kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Rabu.

Dr Zaini sebelum itu menerima sumbangan 14 unit ‘oxygen concentrator' daripada Firma Guaman Afiq & Co yang diwakili oleh Afiq Farhan Mohd Hanifa.

Hadir sama, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Menurut Dr Zaini, suntikan kepada golongan remaja itu akan diberikan menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini.

Katanya, pemberian vaksin itu dilihat sebagai tindakan tepat sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam kalangan remaja di negara ini sekaligus membolehkan mereka kembali semula ke sekolah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini memaklumkan PICK akan memulakan vaksinasi mengikut keutamaan iaitu remaja (12 hingga 17 tahun) yang mempunyai masalah penyakit kronik diikuti individu remaja (12 hingga 17 tahun) tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.

Kaedah tersebut dilaksanakan mengikut saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!