Giliran Piala Cabaran 2021 dibatalkan

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejohanan Piala Cabaran 2021 turut tidak terlepas daripada terkena tempias pandemik Covid-19 apabila dibatalkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini, beberapa jam selepas pembatalan Liga M3 2021, pada Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam memaklumkan, pihaknya mengambil kira tiga faktor utama serta penilaian rapi bagi pembatalan Piala Cabaran 2021.

Beliau berkata, ia melibatkan maklum balas penaja, masalah kewangan kelab begitu terkesan akibat kos di luar jangkaan sepanjang Liga Premier dan prosedur operasi standard (SOP) yang masih tiada kelonggaran sepanjang pandemik Covid-19.

“Sebenarnya ia bukan satu keputusan mudah sama ada membatalkan atau meneruskan tetapi atas beberapa faktor, pasukan-pasukan bersama MFL secara kolektif telah bersetuju agar kejohanan ini tidak diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, meskipun Piala Cabaran 2021 terpaksa dibatalkan, kesemua 11 pasukan Liga Premier dapat beraksi dalam saingan liga yang penuh mencabar musim ini, dengan kesemua pasukan masing-masing mengharungi 20 perlawanan.

Stuart berkata, berdasarkan perbincangan bersama pasukan dalam mesyuarat diadakan hari ini juga, mereka menyatakan persetujuan untuk menghormati kontrak pemain dan pegawai sehingga hujung kontrak musim 2021 biarpun Piala Cabaran 2021 dibatalkan.

Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum itu mengumumkan pembatalan Liga M3 2021 selepas mengambil kira segala faktor termasuk hal pengoperasian, aspek keselamatan serta kekangan dihadapi AFL dan pasukan, kesemuanya susulan pandemik Covid-19.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini, membatalkan saingan Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) buat kali kedua berturut-turut berikutan pandemik tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: