MoU tidak bermakna pembangkang wajib sokong RUU Belanjawan 2022

Anwar ibrahim
Anwar ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tanggapan bahawa Pakatan Harapan (PH) wajib menyokong Rang Undang-Undang Belanjawan 2022 susulan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan pada Isnin.

Beliau berkata, tanggapan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana pihaknya hanya akan menyokong dan berkecuali selepas proses RUU Belanjawan 2022 dirunding dah dipersetujui.

“Ada yang menganggap dengan MoU ini, kita (pembangkang) wajib menyokong Belanjawan 2022. Itu tidak benar.

“Dalam MoU ini disebut kita boleh mengambil pendirian menyokong, berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 selepas proses penggubalan RUU tersebut dirunding dan dipersetujui.

“Ini jelas bermakna tanggungjawab Menteri Kewangan dan pembangkang untuk mengambil sikap terbuka bersedia duduk berunding,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, beliau tidak mahu situasi ketika rundingan bagi RUU Belanjawan 2021 berulang.

“Jangan seperti Belanjawan 2021, Menteri Kewangan panggil pembangkang ada perbincangan, kemudian dia longgok dalam belanjawan, anggap kita sudah setuju dan terima. Tidak.

Artikel Berkaitan:

“Kalau hendak ada kerjasama, untuk kita menyokong dan berkecuali mesti ada proses rundingan dan kita bersetuju perkara-perkara asas,” katanya.