Pengeluaran getah asli meningkat 47,473 tan

Pengeluaran getah asli meningkat 22.3 peratus kepada 47,473 tan pada Julai 2021 daripada 38,807 tan yang dicatatkan pada Jun 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Gambar hiasan
Pengeluaran getah asli meningkat 22.3 peratus kepada 47,473 tan pada Julai 2021 daripada 38,807 tan yang dicatatkan pada Jun 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Gambar hiasan
A
A
A

PENGELUARAN getah asli meningkat 22.3 peratus kepada 47,473 tan pada Julai 2021 daripada 38,807 tan yang dicatatkan pada Jun 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dari segi pengeluaran tahunan pula, ia meningkat 13.6 peratus daripada 41,801 tan pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan pengeluaran ini disokong oleh pertumbuhan bulan ke bulan pengeluaran getah asli oleh sektor estet sebanyak 2.1 peratus dan sektor pekebun kecil pada 24.8 peratus.

“Mengikut perbandingan tahun ke tahun, sektor kebun kecil kekal positif iaitu 18.0 peratus sebaliknya sektor estet menunjukkan pertumbuhan negatif 17.6 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Julai 2021 yang dikeluarkan pada Selasa.

Perangkaan itu menunjukkan statistik pengeluaran, import, eksport, penggunaan domestik, stok, harga, bilangan pekerja, gaji dan upah serta produktiviti bagi estet getah.

Mohd Uzir berkata, sumbangan utama pengeluaran getah asli di Malaysia adalah daripada sektor pekebun kecil yang membentuk 90.9 peratus berbanding sektor estet sebanyak 9.1 peratus.

“Seiring dengan peningkatan pengeluaran ini, jumlah stok getah asli turut menunjukkan peningkatan 16.0 peratus pada Julai 2021 kepada 280,810 tan daripada 242,072 tan pada Jun 2021,” katanya.

Beliau juga berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,645 tan pada Julai 2021 meningkat 0.1 peratus daripada Jun 2021 yang merekodkan 48,589 tan.

Artikel Berkaitan:

China kekal sebagai destinasi utama eksport iaitu 44.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai 2021 diikuti Amerika Syarikat (7.7 peratus), Finland (5.0 peratus), Turki (2.8 peratus) dan Mesir (2.7 peratus), katanya.

Beliau berkata, prestasi eksport produk getah negara disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM3.9 billion pada Julai 2021, menurun sebanyak 39.9 peratus daripada Jun 2021 yang merekodkan RM6.4 bilion,” katanya.

Mohd Uzir berkata, senario perbandingan harga purata bulanan pula meyaksikan lateks pekat merekodkan penurunan 12.4 peratus kepada 494.38 sen sekilogram pada Julai 2021 daripada 564.62 sen sekilogram pada Jun 2021.

Beliau berkata, getah cair pula susut 18.5 peratus kepada 546.94 sen sekilogram pada Julai 2021 daripada 671.47 sen sekilogram pada Jun 2021.

“Keadaan yang sama turut berlaku kepada jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) CV dan L masing-masing menurun 12.2 dan 12.3 peratus, manakala harga bagi GMM lain menunjukkan peningkatan iaitu GMM 5 (1.4 peratus), GMM GP (1.5 peratus), GMM 10 (1.5 peratus) dan GMM 20 (1.5 peratus),” katanya.

Ketua Perangkawan turut berkata, perubahan harga di peringkat global seperti yang dilaporkan Data Harga Komoditi Bank Dunia menunjukkan harga getah jenis TSR 20 dan SGP/MYS masing-masing susut 0.4 peratus (daripada AS$1.64/kilogram kepada AS$1.63/kilogram) dan 12.0 peratus (daripada US$2.12/kilogram kepada AS$1.87/kilogram).

Beliau berkata, sebaliknya harga minyak mentah meningkat daripada AS$71.8 setong pada Jun 2021 kepada AS$73.3 setong pada Julai 2021.

“Harga gas asli di Amerika Syarikat turut meningkat daripada AS$3.24 bagi setiap juta unit termal Britain (mmbtu) kepada AS$3.79/mmbtu pada Julai 2021,” katanya. - Bernama