Dua trip feri ke Langkawi tidak cukup: Cake

Cake mencadangkan supaya perkhidmatan feri ke Langkawi ditambah bagi mengurangkan kesesakan di dalam feri. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal Yusoff
Cake mencadangkan supaya perkhidmatan feri ke Langkawi ditambah bagi mengurangkan kesesakan di dalam feri. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Dua trip perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi berikutan Gelembung Pelancongan (Travel Bubble) Projek Rintis ke Langkawi dikhuatiri masih belum mencukupi menampung jumlah pengguna.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan gelembung pelancongan yang akan bermula 16 September ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mohamad Yusrizal mengakui pelaksanaan gelembung pelancongan merupakan berita baik kepada pengusaha pelancongan di Pulau Langkawi yang bakal meningkatkan ekonomi mereka yang telah lama terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, kami bimbang sistem pengangkutan ke Langkawi sedia ada terutamanya feri ke Langkawi, yang mana perjalanan ke Langkawi ketika ini hanyalah dua trip sehari iaitu pergi dan pulang.

"Bukan sahaja pelancong yang akan menaiki feri ini tetapi ada juga penumpang pergi ke Langkawi untuk urusan pekerjaan mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, penumpang yang berulang-alik menggunakan perkhidmatan feri untuk urusan kerja dikhuatiri terpaksa bercampur dengan pelancong yang ingin melancong ke pulau lagenda tersebut.

"Jadi, trip dua kali sehari pada pagi dan petang dirasakan tidak cukup dan kita minta perkhidmatan feri ke Langkawi ditambah lagi bagi mengurangkan kesesakan di dalam feri," katanya.

Katanya, trip perjalanan diharapkan ditambah untuk membolehkan pekerja menggunakan perkhidmatan feri pada awal pagi sekitar jam 8 pagi dan pelancong pada sesi seterusnya lebih kurang jam 10 pagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, penambahan trip memberi pilihan kepada pengguna yang mana penumpang yang bekerja dan pelancong tidak perlu bersesak di dalam feri yang sama sekali gus mampu mengekang penularan Covid-19.