'Terlanggar tali layang-layang bukan kes cubaan ragut'

Mohamad Fakhrudin
Mohamad Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung insiden seorang penunggang motosikal cedera kerana terlanggar tali layang-layang di Lebuhraya Sprint di sini pada 6 September lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima laporan itu pada jam 10.37 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku pada jam 6.30 petang, 2 September lalu ketika mangsa berusia 28 tahun menunggang motosikal dari tempat kerja di Pavilion Damansara, Kuala Lumpur menuju ke rumahnya di Meru, Klang.

"Apabila sampai di Lebuhraya Sprint kira-kira satu kilometer daripada susur keluar Plaza Tol Damansara, mangsa telah terlanggar tali layang-layang yang terputus dan terkena mukanya," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa mengalami luka pada pipi dan bibir akibat insiden itu.

"Siasatan yang dijalankan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ataupun khianat, ia hanya melibatkan kes kemalangan jalan raya," katanya.

Menurutnya, kejadian itu juga tiada kaitan dengan dakwaan kes cubaan ragut di terowong Penchala Link yang tular di media sosial pada Isnin.

"Sehingga kini, kita tidak ada menerima sebarang laporan berkaitan kes cubaan ragut dengan memasang atau merentang tali tangsi di terowong berkenaan seperti yang ditularkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita meminta mangsa kejadian tampil membuat laporan polis untuk pihak polis menjalankan siasatan lanjut," katanya.