Video tular insiden ragut hanya 'prank' - Polis

Tular video memaparkan kejadian ragut di sebuah kedai emas di Kota Kinabalu.
Tular video memaparkan kejadian ragut di sebuah kedai emas di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Kota Kinabalu mengesahkan video yang tular di media sosial berhubung kejadian ragut di sebuah kedai emas hanya lakonan semata-mata.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, pihak premis berkenaan telah memberi pengesahan bahawa video berdurasi tiga minit 32 saat itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kejadian ragut yang mungkin boleh berlaku.

"Video itu tular sejak jam 2 petang Ahad di laman sosial yang memaparkan seorang pelanggan wanita yang berada di sebuah kedai emas di daerah ini telah didatangi seorang lelaki yang turut berada di premis berkenaan.

"Tiba-tiba lelaki itu bertindak meragut bakul berisi barangan kemas yang dibeli oleh mangsa di premis berkenaan sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, susulan tersebarnya video itu menyebabkan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membuat risikan dengan menghubungi premis berkenaan bagi mendapatkan pengesahan insiden itu.

"Pihak pengurusan kemudian telah mengesahkan bahawa kejadian itu hanya lakonan dan rekaan semata-mata iaitu 'prank'.

"Video itu adalah sebagai inisiatif memberi kesedaran kepada orang ramai agar sentiasa berada dalam keadaan berhati-hati dan peka dengan sekeliling bagi mengelak menjadi mangsa ragut," katanya.

Sehubungan itu, Kalsom berkata, pengurus premis berkenaan diminta untuk membuat laporan polis bagi mengesahkan rakaman video itu hanya lakonan semata-mata serta memberi penjelasan kepada warganet tujuan video itu disebarkan.

"Ini bagi mengelak kegusaran dan ketakutan kepada orang ramai khususnya di daerah ini.

"Orang ramai diminta tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung rakaman video berkenaan dan tidak mudah percaya sebarang isu yang disebarkan dalam media sosial tanpa pengesahan oleh pihak berkenaan," katanya.