Tujuh lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang dikenakan PKPD mulai Rabu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh lokaliti, masing-masing empat di Sabah, dua di Kelantan dan satu di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu ini hingga 28 September ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, di Sabah, lokaliti terlibat ialah dua di Kota Kinabalu iaitu Kampung Warisan dan Rumah Pangsa Tanjung Aru serta masing-masing satu di Kalabakan (Kilang Fu Yee, Brantian) dan Kota Marudu (Kampung Rugading).

Beliau berkata, PKPD di Kelantan melibatkan dua lokaliti di Mukim Pengkalan Kubur, Tumpat iaitu Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Simpangan, manakala di Pahang pula ialah Kampung Paya Pelong, Kerdau di Temerloh.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook pada Isnin.

Rodzi juga berkata, PKPD di dua lokaliti, masing-masing satu di Sabah iaitu Kampung Lotong, Kota Marudu dan Pahang (Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Raub) yang sepatutnya tamat pada Selasa dilanjutkan hingga 28 September ini.

Beliau berkata, dua lokaliti yang dikenakan PKPD di Sabah iaitu Kampung Hidayat, Batu 4 di Tawau dan Kampung Penangah di Tongod ditamatkan pada Selasa seperti dijadualkan.

PKPD di tiga lokaliti di Lata Rek, Mukim Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan yang membabitkan Kampung Lata Tuai, Kampung Tok Uban dan Kampung Kubang Kerian turut tamat pada Selasa mengikut jadual. - Bernama

Artikel Berkaitan: