Rapatkan saf demi negara: Ismail Sabri

Ismail Sabri (kanan) bersama Al-Sultan Abdullah (dua dari kiri) di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto FB Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri (kanan) bersama Al-Sultan Abdullah (dua dari kiri) di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto FB Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik untuk bersama-sama merapatkan saf demi memulihkan negara dan mensejahterakan semula kehidupan rakyat.

Menurutnya, sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semua pihak hendaklah mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

"Alhamdulillah, lafaz syukur ke hadrat ALLAH kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Parlimen dapat memulakan persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14, bermula hari ini sehingga 12 Oktober depan.

"Menjunjung titah Baginda Tuanku, inilah semangat yang dibawa dalam Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan untuk mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan.

"Saya berharap persidangan ini dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Al-Sultan Abdullah dalam pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, menasihatkan semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam apa jua masalah yang dihadapi.

Seri Paduka Baginda turut menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

Titah Al-Sultan Abdullah, hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat sahajalah, negara akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh.

Artikel Berkaitan: