Pastikan keselamatan sebelum Gunung Jerai dibuka kepada pelancong

Tunku Puteri Intan Safinaz (tiga dati kanan) selepas menyerahkan cek sumbangan kepada mangsa bencana kepala air Gunung Jerai di Titi Hayun pada Isnin.
Tunku Puteri Intan Safinaz (tiga dati kanan) selepas menyerahkan cek sumbangan kepada mangsa bencana kepala air Gunung Jerai di Titi Hayun pada Isnin.
A
A
A

YAN - Aspek keselamatan di Gunung Jerai perlu diberikan keutamaan selain dinaik taraf sebelum pusat peranginan itu dibuka semula kepada pelancong.

Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, pemulihan kawasan bencana itu kemungkinan mengambil masa agak lama.

Bagaimanapun, katanya, ia penting bagi memastikan kawasan pelancongan itu selamat dikunjungi memandangkan ia merupakan tempat tumpuan pelancong termasuk dari luar negara.

Menurut beliau, semua pihak perlu bersabar dan menyerahkan kepada kepakaran pasukan penyiasat untuk mengkaji tahap keselamatan Gunung Jerai bagi menjamin sektor pelancongan di situ kembali dirancakkan.

"Saya menaruh harapan tinggi agar kawasan ini diberi tumpuan dari aspek keselamatan ketika proses pemulihan.

"Berdasarkan keadaan cuaca dan kestabilan tanah di Gunung Jerai, aspek itu amat penting setelah kita menyaksikan faktor geologi yang beri kesan terhadap kehidupan seharian kita," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan replika cek Tabung Bantuan Bencana sumbangan BSSM Kedah dan Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) kepada mangsa bencana kepala air di Titi Hayun di sini pada Isnin.

Penyerahan diwakili Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah.

Sementara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa terlibat yang telah kehilangan ahli keluarga dan harta benda dalam fenomena kepala air pada 18 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Fenomena alam semula jadi menyebabkan ada mangsa terkesan termasuk mata pencarian. Diharap sumbangan ini dapat memulihkan semula kehidupan penduduk yang terjejas," katanya.

Pada majlis itu, IFRC yang berpengkalan di Geneva menyumbangkan sebanyak RM618,526 manakala BSMM Kedah sebanyak RM20,605.

Mengulas lanjut, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, agihan melibatkan 166 keluarga di Yan dan 50 keluarga di daerah Kuala Muda.

"Setiap keluarga menerima sebanyak RM2,250 sebagai pampasan. Bantuan ini berasaskan kepada keperluan di bawah dua kategori, selain RM1,800 untuk pemulihan mata pencarian seperti peniaga," jelasnya.

Tambah beliau, bantuan tunai itu akan disalurkan ke akaun penerima dalam bulan ini.