Dua beranak didakwa lagi, tipu duit 14 individu

Melati (kanan) dan Nurul Yasmin (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Isnin.
Melati (kanan) dan Nurul Yasmin (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua beranak yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Klang, sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, masing-masing atas dua dan 12 pertuduhan menipu serta menyalahgunakan wang milik 14 individu.

Ia berhubung pembelian barang elektrik berjumlah RM41,645 bermula tahun lalu.

Melati Zainol, 53, dan Nurul Yasmin Rosli, 32, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, Nurul Yasmin didakwa dengan curangnya menipu enam individu sehingga mendorong mereka membuat bayaran bagi pembelian barangan elektrik ke akaun Hong Leong Bank atas nama Melati berjumlah RM17,541.

Bagaimanapun, tertuduh gagal menyerahkan barang elektrik yang dijanjikan dalam tempoh tertentu sehingga mengakibatkan kerugian yang mana mereka tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdaya.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketujuh hingga ke-12, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang berjumlah RM19,548 milik enam individu lain, yang diserahkan kepada tertuduh dengan memasukkan wang ke akaun sama.

Ia sebagai bayaran pembelian barangan elektrik dan perkakas dapur pelbagai jenama yang tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Bukit Jelutong di sini dan Sungai Buloh pada 27 November 2020 hingga 13 Jun lalu.

Dalam pada itu, Nurul Yasmin dan Melati berdepan dua pertuduhan iaitu dengan niat bersama, menipu dua individu lain sehingga mendorong mangsa membuat bayaran berjumlah RM4,556 bagi pembelian barangan elektrik ke akaun bank sama.

Kedua-dua tertuduh gagal menyerahkan barang dijanjikan dalam tempoh tertentu sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian yang mana mereka tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdaya.

Kesalahan didakwa dilakukan di Subang Jaya dan Shah Alam pada 28 Mei hingga 24 Julai lalu, didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qiwamuddin Mustapha Shakri mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Shalehhuddin Salam yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan ikat jamin pada kadar minimum.

"Nurul Yasmin kini hamil empat bulan, direman sejak 18 Ogos lalu, manakala ibunya, Melati mempunyai penyakit buasir dan direman sejak 26 hari lalu.

"Mereka turut berdepan beberapa pertuduhan sama di Mahkamah Majistret Klang Jumaat lalu, maka sekiranya mahkamah di sini menetapkan jaminan pada kadar tinggi, ia akan menyukarkan urusan ikat jamin tersebut," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sabreena membenarkan Nurul Yasmin diikat jamin sebanyak RM15,000 manakala Melati RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 15 November depan untuk sebutan semula kes.