[VIDEO] Malaysia catat sejarah: Kerajaan, pembangkang tandatangani MoU

Ismail Sabri (kanan) bersama Anwar (kiri) ketika hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri (kanan) bersama Anwar (kiri) ketika hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Politik Malaysia mencatat sejarah buat kali pertama apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam urusan pentadbiran negara.

Upacara menandatangani MoU atau Transformasi dan Kestabilan Politik itu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan manakala bagi pihak Pakatan Harapan (PH) diwakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pemeteraian itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Ismail Sabri berkata, memorandum itu membentuk satu kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam MoU oleh kerajaan dan ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

“Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menasihatkan semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah ketika menghadapi masalah.

Seri Paduka Baginda turut menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, memorandum yang dimaktubkan antara kerajaan dan pembangkang pada Isnin merangkumi enam perkara.

“Pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, perjanjian Malaysia MA63 dan pembentukan jawatankuasa pemandu,” katanya.

Ismail Sabri menambah, pihaknya yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan itu bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik tetapi turut mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan insklusif.

“Setinggi penghargaan kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.