Alya Aqeela dijemput meriahkan pembukaan Balai Seni Negara

Laporan Sinar Harian berkenaan Alya Aqeela yang menjual lukisannya berharga RM1 mendapat perhatian ramai pihak yang turut memuji usaha ibu bapanya yang menggalakkan anak berkarya pada usia muda.
Laporan Sinar Harian berkenaan Alya Aqeela yang menjual lukisannya berharga RM1 mendapat perhatian ramai pihak yang turut memuji usaha ibu bapanya yang menggalakkan anak berkarya pada usia muda.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kanak-kanak yang kisahnya tular menjual lukisan berharga RM1 di hadapan rumahnya di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi, Alya Aqeela Muhammad Fadhil, 7, antara individu yang dijemput untuk memeriahkan pembukaan Balai Seni Negara pada tahun hadapan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Balai Seni Negara, Adina Quraisa Ibrahim berkata, Alya Aqeela dipilih untuk acara tersebut bagi memberikan galakan kepada kanak-kanak seusianya untuk menggiatkan diri dalam bidang seni, khususnya seni lukisan.

Menurutnya, Alya Aqeela juga akan diberikan keahlian NAG Friends secara percuma untuk mempromosikan acara pembukaan tersebut dan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh kelab tersebut.

Selain kanak-kanak tersebut, Adina Quraisa berkata, seramai sekitar 100 individu melibatkan penggiat seni tanah air dijemput bagi menyertai acara tersebut.

“Pihak kami melihat Alya Aqeela minat melukis dan mereka yang meminati seni biasanya mempunyai pemikiran analitikal yang tinggi.

“Dalam suasana pandemik, perkongsian bahan seni di laman sosial merupakan satu terapi untuk mereka yang tertekan dalam situasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, ayah kepada Alya Aqeela, Muhammad Fadhil Mohd Zainuddin, 32, terkejut apabila dia dihubungi oleh pihak Balai Seni Negara pada Ahad yang menjemput anaknya untuk menjadi sebahagian daripada acara promosi pembukaan galeri tersebut.

Bagaimanapun, Muhammad Fadhil masih menunggu surat jemputan rasmi daripada pihak berkenaan tentang acara tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini kami masih menunggu surat tawaran daripada pihak tersebut dan saya sudah memberikan maklumat yang diperlukan kepada mereka, mungkin akan dapat dalam minggu ini.

“Saya tidak pasti mengapa mereka memilih anak saya sebagai salah seorang ikon, tapi mungkin pihak Balai Seni Negara ingin menggalakkan kepada golongan seusianya dalam bidang seni lukisan,” katanya.

Sinar Harian baru-baru ini melaporkan tentang kisah Alya Aqeela yang menjual lukisan berharga RM1 di hadapan rumahnya di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi, di sini dan ia tular di media sosial.

Muhammad Fadhil yang mengikut kehendak anaknya untuk berbuat demikian berkata tidak menyangka lukisan anaknya mendapat perhatian ramai orang tidak kira dari kawasan kejiranan mahupun warganet yang memuji usahanya menggalakkan anaknya berkarya pada usia muda.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terkejut lukisan anak habis terjual