Tidak perlu layan fitnah

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

KUALA NERUS - Pemimpin mewakili kerajaan negeri di setiap peringkat tidak perlu melayan tohmahan, cacian dan fitnah dibuat pihak tertentu sebaliknya terus bekerja untuk rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tohmahan, cacian dan fitnah yang dilemparkan itu hanya seperti 'anjing menyalak bukit' atau melakukan perbuatan sia-sia.

"Tohmahan, cacian, dan fitnah yang dilemparkan juga tidak akan habis namun ia hanya seperti peribahasa Melayu itu. Kita bekerja supaya ALLAH bagi keberkatan kepada kita.

“Sebab itu saya kata, orang kecam tak habis. Biar dia menyalak seorang diri. Dia hanya menyalak bukit dan bukit tidak tercabut," katanya menyampaikan Kuliah Dhuha di Surau Ayah Itam Wan Ali, di sini.

Sehubungan itu, beliau berpesan kepada ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, ADUN malah Ahli Parlimen supaya menumpukan kerja tanpa mempedulikan pihak mengata dan mencaci.

“Setiap orang buat kerja saja, jangan pedulikan orang. Sebab yang akan menilai kita ialah ALLAH, yang beri pahala kita ialah ALLAH, bukan manusia," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Sementara itu, beliau turut memberi amaran keras kepada pihak yang menghina Nabi Muhammad SAW kerana beliau dan rakyat Kuala Nerus tidak akan berdiam diri dalam isu berkenaan.

"Kita hendak menyatakan suara anak-anak muda dan orang-orang tua di Parlimen Kuala Nerus ini, bahawa kita tidak akan duduk dan tengok sahaja Nabi kita dihina," katanya.

Artikel Berkaitan: