X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Penolong pegawai kesihatan didakwa 9 pertuduhan terima suapan

Ab Hanif mengaku tidak bersalah terima suapan di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh pada Isnin.
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang penolong pegawai kesihatan persekitaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas sembilan pertuduhan menerima suapan bagi pembelian pelbagai barangan termasuk peralatan tandas berjumlah lebih RM31,000.

Ab Hanif Ab Hamid, 40, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga sembilan, tertuduh yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan terlibat dalam permohonan pembekalan kepada Perniagaan Thronez Enterprise milik adiknya, Ab Halim Ab Hamid.

Ia membabitkan sembilan kerja pembekalan keperluan bagi Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS), Pejabat Kesihatan Daerah Jasin, Melaka termasuk peralatan tandas, cat, racun, mesin rumput dan skru bernilai keseluruhan RM31,099.50.

Tertuduh yang mempunyai kepentingan dengan syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS), Pejabat PKD Jasin antara 4 Julai sehingga 2018 November 2018.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Nur Syakila Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Wan Sharizal Wan ladin.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap dua bulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 20 Oktober depan sebagai pengurusan kes dan serahan dokumen.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!