X

Kindly register in order to view this article
!

Kerjasama UMNO, Pas lebih baik daripada guna satu logo

Razman Zakaria
A
A

IPOH - Pelaksanaan kerjasama politik antara UMNO dan Pas yang terjalin ketika ini dianggap lebih baik berbanding cadangan kedua-dua parti menggunakan satu logo bagi menghadapi PRU15.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, cadangan itu adalah lontaran pendapat peribadi memandangkan kerjasama sedia ada dilihat sudah mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengundi Melayu negara ini.

"Kita yakin kerjasama dan persefahaman politik bersama antara Pas dan UMNO akan terus berkekalan sehingga PRU15 tapi dua parti ini tidak boleh mendominasi antara satu sama lain, kena ada tolak ansur dan 'mutual understanding' serta kena ada pengorbanan daripada kedua-dua pihak.

"Paling penting mesti ada satu konsep musyawarah antara kedua-dua parti ini untuk membuat perbincangan sama dalam aspek pembahagian kerusi, membuat keputusan dan penyelarasan strategi politik," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Razman yang juga ADUN Gunong Semanggol berkata, cadangan idea penggunaan satu logo parti bagi mengukuhkan kerjasama Pas dan UMNO juga bergantung kepada budi bicara kepimpinan Pas Pusat.

Menurutnya, pada ketika ini, Pas akan meneruskan usaha menggerakkan kesatuan parti pembangkang bagi membela sebarang isu ancaman hak keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan Islam.

"Pada masa sama, saya yakin momentum kemenangan hasil kerjasama politik Pas dan UMNO akan berkekalan hingga PRU15 kerana sokongan orang Melayu terutama golongan pengundi muda dijangka semakin bertambah dari semasa ke semasa.

"Kerjasama ini juga tidak sedikit menjejaskan kepercayaan akar umbi kedua-dua parti terhadap perjuangan parti masing-masing kerana paling penting adalah untuk membela nasib bangsa dan agama," katanya.

Razman juga tidak menolak kemungkinan gabungan kerjasama Pas dan UMNO mampu memenangi kembali negeri Perak dari tangan PH dengan mudah pada PRU15.

"Undi Pas campur UMNO jika digabungkan akan membantu memenangkan calon kedua-dua parti pada majoriti kerusi DUN di Perak kelak.

"Paling penting kedua-dua parti kini mengorak langkah dan membincangkan strategi politik bersama bagi menumbangkan kerajaan PH Perak yang agak rapuh ketika ini,"katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan calon BN, Zakaria Hanafi pada PRK DUN Semenyih selepas memperoleh 19,780 undi.

Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (725 undi).

Kemenangan PRK DUN Semenyih itu adalah kemenangan kedua berturut-turut BN selepas turut menang pada PRK Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!