X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

'Saya sangat gementar'- Ronaldo

Ronaldo
A
A

BINTANG Manchester United, Cristiano Ronaldo mengakui sangat gementar melakukan debut kepulangan semulanya ke The Red Devils ketika meledak dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Menurut Ronaldo, dia bertekad untuk memastikan kehadirannya masih mampu menyumbang kepada kemenangan United dan ia telah dibuktikan dalam perlawanan tersebut.

"Ia sukar dipercayai. Apabila saya memulakan perlawanan, saya sangat gementar. Ia normal kerana saya tidak menjangka penyokong akan menyanyikan nama saya sepanjang perlawanan.

"Saya sangat gementar tetapi saya mungkin tidak tunjukkannya. Saya hanya fikirkan mahu bermain dengan bagus dan tunjukkan bahawa saya masih mampu membantu pasukan.

"Penerimaan penyokong sangat luar biasa tetapi saya berada di sini untuk memenangi perlawanan dan membantu pasukan. Kelab ini sangat luar biasa dan saya sangat berbangga. Saya akan memberikan segalanya untuk membuatkan semua bangga dengan saya.

"Semua orang tahu bola sepak di England sangat berbeza berbanding di tempat lain. Secara jujurnya di sini sangat istimewa," katanya.

Dalam perlawanan di Old Trafford itu, Ronaldo menandakan kepulangan semulanya bersama United dengan menjaringkan gol pertama pada masa kecederaan babak pertama sebelum golnya itu disamakan oleh Newcastle menerusi Javier Manquillo pada minit ke-56.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu membuktikan bisanya dengan meledak gol kedua pada minit ke-62 dan Bruno Fernandes serta Jesse Lingard masing-masing menjaringkan satu gol untuk kemenangan bergaya skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu.

"Saya tidak menjangka untuk menjaringkan dua gol. Saya menjangkakan satu tetapi bukan dia. Saya harus menghargai penyokong dan apa yang telah mereka lakukan pada hari ini.

"Perkara paling penting adalah menang perlawanan ini. United perlu berada di mana mereka sepatutnya. Ia adalah kemenangan, membina pasukan dan mentaliti.

"Ini adalah apa yang kami mahukan. Sudah tentu saya gembira dapat menjaringkan gol tetapi apa yang lebih penting adalah untuk pasukan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!