Penjaja kacau ganggu lalu lintas dikenakan tindakan sita

Tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekitar Selayang Jaya susulan aduan awam diterima MPS.
Tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekitar Selayang Jaya susulan aduan awam diterima MPS.
A
A
A

SELAYANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengenakan tindakan sitaan terhadap penjaja sekitar Selayang Jaya di sini kerana menjadi penyebab kacau ganggu dan kesesakan lalu lintas.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, aktiviti perniagaan itu juga telah menyulitkan orang awam untuk meletakkan kereta di petak pakir di kawasan terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan pada Jumaat itu mendapati hanya tiga penjaja mempunyai permit manakala yang lainnya berniaga tanpa kebenaran.

"Jabatan Penguat kuasa MPS telah berkali-kali menasihati penjaja ini agar memohon permit dan tidak berniaga di kawasan tersebut tanpa kebenaran namun arahan itu gagal dipatuhi.

"Tindakan sitaan diambil kerana aktiviti itu menimbulkan kacau ganggu serta kesesakan jalan raya selain aduan berterusan daripada penduduk," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Zin berkata, 10 peniaga telah dikenakan sitaan terhadap barang perniagaan mereka di bawah Undang-Undang 3 Penjaja (MPS) 2007.

Jelasnya, MPS memahami situasi kegawatan ketika pandemik Covid-19, namun mengingatkan peniaga untuk mematuhi undang-undang sedia ada demi kesejahteraan bersama.

"Pemantauan berterusan akan dilaksanakan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada semua penjaja bagi memastikan kawasan perniagaan berada dalam keadaan bersih dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"MPS juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis makanan dan pusat hiburan yang melanggar syarat lesen dan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara," katanya.