X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Jakim bakal sediakan SOP baharu panduan solat berjemaah

Idris Ahmad - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat deraf ketetapan baharu mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat berjemaah di masjid dan surau sebagai panduan kepada seluruh negeri di Malaysia.

Beliau berkata, ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempersiapkan negara bagi memasuki fasa endemik Covid-19 pada penghujung October selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.

“Saya juga akan mengadakan satu pertemuan bersama mufti-mufti negeri, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat bagi perbincangan lanjut mengenai perkara ini.

“Pertemuan tersebut bertujuan untuk membincangkan beberapa cadangan yang boleh diambil bagi memberi ruang kapasiti lebih luas untuk umat Islam solat berjemaah di masjid dan surau dengan langkah-langkah keselamatan yang lebih rapi.

“Selain itu, cadangan untuk menjadikan lebih banyak surau biasa termasuk surau-surau di pejabat sebagai tempat mendirikan solat Jumaat juga akan dibincangkan bersama pihak berkuasa agama negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Idris berkata, kerajaan memberi perhatian serius terhadap kemudahan solat berjemaah di masjid dan surau serta aktiviti berkaitan.

Tambahnya, ia sebahagian daripada lima 'inisiatif Mantap' yang dirancang iaitu Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani serta Pemantapan Institusi Masjid dan Surau.

“Saya berharap agar masyarakat khususnya umat Islam memahami bahawa sebarang keputusan yang akan dibuat oleh pihak kerajaan dalam setiap perkara adalah demi keselamatan rakyat.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan terus berusaha bersama pihak berkuasa agama negeri dalam perkara berkaitan hal ehwal agama islam agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta menurut lunas perundangan.

“Semua usaha ini sudah pasti akan mengambil kira titah nasihat, pandangan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja negeri yang bertanggungjawab mengenai urusan hal ehwal Islam,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!