YPM salur bantuan pendidikan bernilai RM57,000 di Kedah

Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Hwa, See Poi Yoke mengiringi Mohd Nizar ke rumah Nursyaza Damia Ahmad Fuzi, 10, di Kampung Simpang Tiga Pasir yang terjejas akibat tragedi kepala air Gunung Jerai.
Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Hwa, See Poi Yoke mengiringi Mohd Nizar ke rumah Nursyaza Damia Ahmad Fuzi, 10, di Kampung Simpang Tiga Pasir yang terjejas akibat tragedi kepala air Gunung Jerai.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyampaikan bantuan pendidikan berjumlah RM57,000 kepada golongan memerlukan di Kedah termasuk mangsa tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu.

Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata, lawatan kerja ke negeri Jelapang Padi selama tiga hari bermula Khamis lalu turut membantu 100 pelajar yang terjejas akibat tragedi fenomena kepala air di Taman Lembah Merbok.

Menurutnya, penyerahan sumbangan berbentuk wang tunai, beg sekolah dan alat tulis telah diadakan di pekarangan Surau Taman Lembah Merbok pada Jumaat.

“Kami sediakan bantuan kelengkapan persekolahan kepada pelajar mangsa bencana kerana menyedari mereka kehilangan barangan persekolahan akibat banjir.

"Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban ibu bapa apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka semula,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau dalam masa sama berkesempatan menyelusuri jalan Kampung Simpang Tiga Pasir untuk ke rumah Nursyaza Damia Ahmad Fuzi, 10, yang turut terjejas akibat tragedi itu bagi menyerahkan sumbangan.

Sementara itu, katanya, kunjungan turut membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka dan Bukit Selambau bagi menyampaikan sumbangan berupa peranti elektronik tablet dan bantuan bakul makanan kepada 30 pelajar terpilih terdiri daripada asnaf dan kurang berkemampuan.

"Selain itu kami juga telah menyerahkan wang tunai dan beg sekolah kepada 200 murid Sekolah Kebangsaan Sungai Petani yang mana gimik penyampaian telah diadakan secara dalam talian bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) sentiasa dipatuhi,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, fokus YPM adalah memastikan pelajar asnaf B40 tidak keciciran dalam proses pembelajaran.

Katanya, sejak Januari lalu, pihaknya telah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pendidikan di Kedah melalui Skim Bantuan Persekolahan YPM yang mana seramai 4,325 pelajar telah menerima manfaat dengan nilai sumbangan sebanyak RM312,650.