Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara meninggal dunia

Md Jais (kanan belakang) membantu mengusung jenazah Allahyarham Gapar yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di HEBHK, Kluang, pada Jumaat.
Md Jais (kanan belakang) membantu mengusung jenazah Allahyarham Gapar yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di HEBHK, Kluang, pada Jumaat.
A
A
A

KLUANG - Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Gapar Gurrohu meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini pada Jumaat.

Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota dari 2004 hingga 2008 itu meninggal dunia pada usia 76 tahun kira-kira pada jam 1.30 pagi.

"Allahyarham yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kluang yang ketiga berkhidmat dari 1996 hingga 2008 meninggalkan dua anak yang kedua-duanya adalah guru.

"Selepas tidak aktif berpolitik, Allahyarham menjadi Pengerusi Pertubuhan Anak Yatim Kluang dan menjalankan kerja-kerja amal," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Md Jais yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang dan bekas ADUN Mahkota selepas Gapar berkata, Allahyarham seorang tokoh yang disegani dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar terutama bagi orang Kluang.

"Allahyarham seorang yang tegas dalam membuat sebarang keputusan dan amat dihormati. Salam takziah untuk keluarga Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya.

Artikel Berkaitan: