MPPK kemuka lapan resolusi Pelan Pemulihan IPT

Muhammad Amir Asyraf
Muhammad Amir Asyraf
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perunding Pelajar Kebangsaan (MPPK) menggemukkan lapan resolusi kepada Pelan Pemulihan Institut Pengajian Tinggi (Pemulih IPT) termasuk mengutamakan mahasiswa yang telah lengkap mendapat vaksin Covid-19.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, Pelan Pemulih IPT akan dibentangkan oleh Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam masa terdekat.

Menurutnya, pelan tersebut bertujuan memberi manfaat kepada mahasiswa serta menjamin keselamatan warga kampus.

“Antara lapan resolusi itu ialah pergerakan pulang mahasiswa dibuat secara berperingkat dan memberi pilihan sama ada mahu pulang ke kampus atau sebaliknya.

“Resolusi lain ialah menyeragamkan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua IPT bagi urusan pergerakan keluar masuk kampus mengikut kesesuaian dan panduan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Muhammad Amir Asyraf turut mencadangkan, sesi pengajaran dan pembelajaran secara hibrid serta pemberian kit antigen self-test Covid-19 secara percuma kepada mahasiswa.

Mengulas lanjut, Amir Asyraf berkata, antara lain resolusi pemulihan IPT ialah pemberian insentif diskaun penerbangan atau sewa khas kepada mahasiswa untuk pulang ke kampus.

Tambahnya, bantuan 'one-off' sebanyak RM300 kepada mahasiswa menerusi Belanjawan 2022 dan penetapan elaun minimum latihan industri, latihan mengajar serta praktikal sebanyak RM500 menerusi Belanjawan 2022.

Artikel Berkaitan:

“Kita berharap resolusi itu dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan semua IPT dapat mewujudkan gelembung kampus selamat dan menjaga kebajikan mahasiswa.

“KPT juga perlu mengeluarkan satu garis panduan yang jelas dan mudah difahami bagi memastikan mahasiswa dan warga kampus dapat kembali dengan selamat,” ujarnya.