X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Seludup tembakau kunyah: SPRM siasat kakitangan JKDM bersekongkol

Laporan akhbar Sinar Harian pada 7 September lalu.
A
A

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan terdapat kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan tembakau kunyah di negara ini sejak 16 tahun lalu.

Sumber SPRM ketika dihubungi walaubagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut butiran kes berkenaan kerana khuatir akan menjejaskan siasatan.

"Maaf, saya tak boleh ulas lanjut, lebih banyak pendedahan akan jejaskan tindakan kami," kata sumber berkenaan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir pada Selasa mengesahkan siasatan dalaman mengenai perkara itu sedang dilakukan pihaknya.

Media sebelum ini mendedahkan dalang utama sindiket yang dikenali sebagai Datuk M turut dikesan tidak pernah mengisytiharkan barangan import atau membayar cukai.

Nama Datuk M kini agak panas apabila dikaitkan dengan satu sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan bernilai RM14.4 juta menerusi Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang 31 Ogos lalu.

Difahamkan kegiatan sindiket ini dikatakan kebal kerana mempunyai 'kabel' kuat melibatkan beberapa pegawai kanan JKDM selain dikatakan bergerak bebas sehinggakan menguasai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ini dilakukan bagi melancarkan operasi penyusupan barangan yang diimport dari India tersebut. Bukan itu sahaja malah sindiket terbabit didakwa turut bertindak menawarkan wang kepada beberapa pegawai kastam.

Tambah Abdul Latif lagi, pihaknya turut bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM untuk melakukan siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] Siasat 'kabel' 16 tahun sindiket tembakau kunyah


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!