Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah

Ziyad Zokefli ketika beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik pada 31 Ogos lalu.
Ziyad Zokefli ketika beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik pada 31 Ogos lalu.
A
A
A

GANJARAN sewajarnya harus diberikan kepada jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli berikutan prestasi luar biasa dipamerkannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 walaupun catatan itu tidak disahkan oleh jawatankuasa penganjur ekoran kesilapan teknikal.

Pembatalan keputusan itu juga menyaksikan atlet berusia 31 tahun itu terlepas peluang untuk mempertahankan kejuaraan edisi Rio 2016 sekaligus gagal dalam misi menghadiahkan pingat untuk kontinjen negara dalam temasya yang melabuh tirai pada Ahad lalu.

Malah menurut pakar psikologi dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Dr Salleh Abd Rashid, imbuhan atau ganjaran itu boleh disifatkan sebagai anugerah penghargaan negara terhadap usaha dan komitmen atlet berusia 31 tahun tersebut sejak penampilan di Rio.

"Biarpun terdapat segelintir pihak mempertikaikan cadangan pemberian imbuhan atau ganjaran kepada Ziyad berikutan kegagalannya di Tokyo, namun semua perlu mengakui beliau sudah membuktikan prestasi terbaiknya dan paling penting bukan rezekinya pada kali ini susulan isu teknikal tersebut.

"Kita perlu melihat isu Ziyad dalam konteks Keluarga Malaysia, sepanjang tempoh empat tahun yang dilalui oleh atlet Paralimpik ini baik dari segi masa dan tenaga dalam melakukan persediaan untuk layak dan beraksi di Paralimpik Tokyo 2020.

"Untuk itu kita perlu lebih sensitif dalam menghargai semua atlet Paralimpik negara yang telah berjuang di Paralimpik Tokyo 2020, apatah lagi mereka yang luar biasa ini selain berdepan saingan rakan peserta, terpaksa juga berdepan cabaran persekitaran pandemik Covid-19.

"Sewajarnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mengkaji, menilai dan memperhalusi perkara ini dengan meneliti aspek dan sudut lain juga dan tidak bersandarkan kegagalan mengesahkan catatan itu semata-mata dalam memberikan penghargaan kepada Ziyad ekoran insiden tersebut.

"Kegagalan mempertimbangkan hal ini dari sudut yang berbeza akan memberi implikasi jangka panjang kepada Ziyad, rakan-rakan atlet yang lain dan Sukan Paralimpik ini secara amnya," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Jelas Salleh lagi, biarpun pembatalan pingat emas dan rekod dunia dilakar Ziyad merupakan insiden luar biasa yang jarang berlaku, namun cadangan pemberian imbuhan atau ganjaran perlu dilihat dari sudut jangka panjang untuk atlet para negara.

"Lagipun ruang dan peluang untuk atlet para menyerlah begitu terhad dan bergantung kepada jenis sukan berbanding dan kedapatan penganjuran peringkat serantau dan antarabangsa.

"Jadi atlet para akan memberikan aksi sehabis baik apabila mendapat peluang beraksi terutamanya di Paralimpik seperti dibuktikan Ziyad dan rakannya yang lain.

"Saya khuatir sekiranya diabaikan aspek ganjaran atau penghargaan pengorbanan ini, ia akan menjadi pembunuh dalam senyap bukan sahaja kepada diri atlet tetapi juga kepada rakan-rakannya yang lain.

“Jika kita perhatikan dalam kalangan atlet para ini, mereka sungguh akrab. Ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama di cecah berbanding atlet normal biasa, jadi kita tidak mahulah cubit paha kiri, paha kanan terasa,” ujarnya yang percaya pemberian ganjaran oleh KBS kepada Ziyad akan menyuntik kembali semangat atlet tersebut seterusnya menyuburkan semangat kesukanan berteraskan konteks Keluarga Malaysia.