X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Berbahagi rezeki dengan cara tersendiri

Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A

AWAL September lalu, rakan Merak Jalanan berkongsi foto ‘famili’ baharunya. Begitu teruja dia bercerita mengenai seekor kucing diberi nama Chiko yang baru melahirkan enam ekor anak yang comel.

Chiko hanyalah kucing jalanan. Selain Chiko, rakan Merak Jalanan telah memiliki lima ekor kucing peliharaan 'import'.

Jadi, kini kucing peliharaannya berjumlah 12 ekor. Meriah.

Kata rakan Merak Jalanan, dia menganggap kehadiran Chiko sebagai amanah dan tanggungjawab ALLAH kepadanya.

“Aku anggap ALLAH pilih aku untuk menguji sejauh mana prihatin dan sayangnya aku kepada haiwan jalanan.

“Nak buka shelter tak mampu, jadi aku ikhlas berkongsi rezeki ikut kemampuan yang ada,” katanya.

Yang membuatkan Merak Jalanan kagum apabila dia mengakui saat dia mengetahui Chiko bunting, dia jadi risau teramat sangat. Risau jika kucing itu melahirkan anak di tempat tidak sempurna dan terdedah kepada bahaya.

Jadi setiap kali dia memberi makan kepada Chiko, dia selalu berdoa agar kucing itu memilih melahirkan anaknya di rumahnya atau Chiko dipertemukan dengan insan lain yang berhati mulia. Dan doanya termakbul apabila Chiko kini menjadi sebahagian keluarga rakan Merak Jalanan itu. Ditatang bagaikan minyak yang penuh.

Sama juga kisahnya dengan seorang cef terkenal yang menjadi 'bidan terjun' kepada kucing bernama Cik Kiah Propa dan tujuh ekor anaknya yang dianggap seperti cucu sendiri. Untungnya Cik Kiah Propa kerana berpeluang melahirkan anak di atas katil empuk dan dilimpahi dengan kemewahan.

Indahnya apabila dapat berbahagi rezeki dengan cara yang tersendiri. Semoga mereka terus dimurahkan rezeki agar dapat membantu lebih banyak kucing jalanan yang perlukan kasih sayang.

Tapi awas! Hindarkan perangai yang mahu membela kucing tetapi dibiarkan ia merayau dan membuang najis merata-merata sehingga menyebabkan jiran naik angin, bermasam muka dan tak bertegur sapa. Asalnya mahu mendapatkan pahala tapi akhirnya menambah dosa pula apabila mengganggu keselesaan jiran tetangga.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!