Dadah RM34.1 juta dirampas

Sebanyak 1,000 bungkus heroin base dirampas di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam pada Jumaat lalu.
Sebanyak 1,000 bungkus heroin base dirampas di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam pada Jumaat lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan 11 ahli sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dalam enam serbuan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada 3 September lalu.

Siri serbuan di antara jam 12.40 tengah malam hingga 6.20 pagi itu bermula di Bukit Minyak di sini dan seterusnya di Kedah dan Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua lelaki berusia antara 22 hingga 58 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam penyeludupan dadah jenis heroin di tiga-tiga negeri tersebut.

Menurutnya, hasil serbuan itu, polis merampas heroin base dan heroin no 3 seberat 367.7 kilogram (kg) bernilai RM34.1 juta di tepi jalan di kawasan perindustrian Bukit Minyak.

Katanya, heroin base tersebut merupakan bahan utama untuk menghasilkan heroin no 3.

"Ketika serbuan, terdapat dua ahli sindiket sedang memindahkan beberapa kotak yang mengandungi 1,000 bungkusan dadah heroin base ke dalam sebuah kepala treler.

"Setelah diperiksa, sindiket itu meletakkan seluar jeans di atas 84 bungkusan dadah yang disimpan di dalam setiap kotak tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini pada Khamis.

Beliau berkata, selain itu polis turut menyita pelbagai aset sindiket tersebut yang dianggarkan bernilai RM1.97 juta yang terdiri daripada enam buah kereta mewah iaitu Mercedes; Range Rover Velar; Toyota Vellfire, Chevrolet Colorado (kepala treler), dua Honda Civic dan Porsche Cayenne.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga menyita barang kemas bernilai RM17,600, wang tunai bercampur-campur bernilai RM17,000 dan wang di dalam 20 akaun, RM10 juta termasuk RM6 juta dari akaun ketua sindiket.

Razarudin (tiga dari kanan) menunjukkan kenderaan yang dirampas dari sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah.
Razarudin (tiga dari kanan) menunjukkan kenderaan yang dirampas dari sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan aset yang dirampas adalah lebih RM45 juta. Siasatan awal mendapati, semua dadah tersebut dibawa dari negara jiran ke negeri ini. Ini adalah rampasan terbesar heroin base untuk tahun ini," katanya.

Razarudin berkata, turut ditahan adalah ketua sindiket yang berusia 42 tahun yang mempunyai syarikat katering.

"Ada antara suspek bekerja sebagai pemandu lori, bekerja sendiri dan pekerja katering. Mereka ini merupakan satu sindiket yang sama walaupun ditahan di lokasi berlainan yang mana ketua sindiket ditahan di Ipoh, Perak.

"Sindiket ini beroperasi sejak setahun setengah yang lalu dan dipercayai kesemua dadah ini untuk diedarkan di tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perak," katanya.

Tambah beliau, lapan daripada suspek mempunyai rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah.

"Kesemua mereka akan disambung reman tujuh hari lagi yang mana tempoh reman pertama akan berakhir esok. Ujian saringan air kencing mendapati hanya seorang daripada suspek positif methamphetamine.

"Kita percaya masih ada saki baki ahli sindiket dan usaha memburu mereka sedang dijalankan. Walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sindiket dadah ini mempunyai pelbagai taktik sendiri untuk mengedar dadah, namun polis tetap berjaya menumpaskan kegiatan mereka itu.

"Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 24.8 penagih. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, rampasan dadah pada tahun ini sehingga Julai menunjukkan peningkatan sehingga 209 peratus dengan nilai RM1.3 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.