Sultan Kedah, keluarga diraja sumbang kontena simpan jenazah

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan seluruh keluarga diraja baginda berkenan mengurniakan sebuah kontena menyimpan jenazah kepada Hospital Sultanah Maliha di Langkawi. - Foto Facebook Kedah Royal Family
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan seluruh keluarga diraja baginda berkenan mengurniakan sebuah kontena menyimpan jenazah kepada Hospital Sultanah Maliha di Langkawi. - Foto Facebook Kedah Royal Family
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan seluruh keluarga diraja baginda berkenan mengurniakan sebuah kontena menyimpan jenazah kepada Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Paduka Bakar Din dalam kenyataan pada Khamis berkata, kontena yang sudah diubah suai itu boleh menyimpan 16 jenazah dalam satu masa yang diharap dapat membantu HSM mengendalikan kes kematian akibat Covid-19 dengan lebih berkesan.

“Sumbangan (kontena) itu juga sekali gus dapat membantu mengatasi kesesakan di tempat penyimpanan jenazah yang dihadapi oleh hospital itu,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Kedah juga bertitah agar lebih banyak syarikat swasta, badan korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) turut sama berganding bahu menyumbangkan bantuan yang diperlukan oleh hospital-hospital di negeri ini, yang masih berhadapan dengan situasi kritikal dalam merawat kes Covid-19.

"Sebagaimana yang kita tahu, katil-katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital di Kedah penuh dengan pesakit Covid-19, justeru baginda berharap agar semua petugas kesihatan dapat bersabar dan berdoa dengan izin ALLAH agar kes-kes kritikal di Kedah akan berkurangan dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Pengarah HSM, Dr Akmal Naziah Ahmad merafak sembah setinggi-tinggi kasih di atas keprihatinan baginda dan keluarga diraja baginda, terhadap masalah yang mereka hadapi. - Bernama

Artikel Berkaitan: