X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Pemuda PH Sabah cadang kemas kini kad pengenalan

Felix (kiri) dan Jin Zhe berbincang berhubung pelaksanaan Undi 18 di Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Pemuda Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kad pengenalan ditarik semula untuk dikemas kini sebelum diberikan semula kepada warga Malaysia yang layak mendapatkan kad identiti itu.

Cadangan itu bertujuan memastikan pendaftaran Undi 18 yang akan dilaksanakan secara automatik tidak melibatkan mereka yang mendapatkan kad pengenalan secara tidak sah atau rasuah.

Menurut kenyataan bersama Ketua Pemuda PH Sabah, Phoong Jin Zhe dan Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang, cadangan itu bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan dan boleh mengancam kedaulatan negara.

"Contohnya kejadian pembunuhan kejam melibatkan seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai bank di Subang Jaya pada 24 Oktober 2013 yang mendapati pengawal keselamatan menggunakan kad pengenalan palsu dari Sabah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu turut menyebut, Pemuda PH Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember depan.

"Ia keputusan yang tepat sekali gus menghormati Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Undi 18 dan pendaftaran automatik yang mendapat sokongan kesemua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kemas kini kad pengenalan bukan mustahil kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mampu melakukan perkara itu.

"Gunakan konsep yang sama dengan tapisan yang lebih ketat. Sekiranya ia tidak dapat dilakukan serentak di seluruh negara, mulakan di Sabah sebagai negeri perintis memandangkan kita sangat sangat terkesan di sini," katanya.

Katanya lagi, pelaksanaan pendaftaran automatik juga harus ditunda dan pendaftaran secara manual perlu digunakan sebagai alternatif sementara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!