Sabah paling ramai pesakit Talasemia

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah merekodkan pesakit talasemia paling ramai di Malaysia dan perlu mendapat perhatian daripada semua pihak.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan statistik 2019, Sabah mencatatkan seramai 1,829 pesakit talasemia daripada 8,178 pesakit di seluruh negara.

"Jumlah ini agak besar dan ia memerlukan keprihatinan semua pihak dalam usaha mengurangkan jumlah pesakit serta membantu meringankan bebanan rawatan pesakit talasemia.

"Kerajaan egeri akan terus memastikan segala keperluan pesakit talasemia di negeri ini dapat disediakan oleh pihak berkaitan terutama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)," katanya dalam ucapan pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Talasemia Sedunia Tahun 2021 Peringkat Sabah pada Khamis.

Menurutnya, Unit Transfusi Darah Hospital Queen Elizabeth (HQE) II sentiasa memberi kerjasama dalam menjayakan kempen derma darah yang dianjurkan oleh Persatuan Talasemia Sabah dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

"Ini termasuk membekalkan semua rawatan secara percuma, memastikan pesakit mendapat rawatan dan menerima bekalan darah yang selamat serta rawatan pemindahan tulang sum-sum dan rawatan terapi stem sel secara percuma.

"Kebajikan pesakit talasemia yang layak tidak disisihkan daripada menerima bantuan dalam bentuk kewangan daripada Jabatan Kebajikan Negeri Sabah. Sebagai pemimpin di Sabah, saya akan buat sedaya upaya dan menyokong segala usaha yang dirancang untuk membantu pesakit talasemia di negeri ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut meminta pesakit talasemia dan keluarga terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjalani ujian saringan talasemia yang terdapat di semua hospital kerajaan secara percuma.

Artikel Berkaitan: