X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Vaksinasi pekerja: NUBE gesa kerajaan adakan dialog, elak diskriminasi

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa kerajaan agar meminta majikan mengadakan dialog bersama pekerja mereka terlebih dahulu bagi membincangkan mengenai isu pengambilan vaksin Covid-19.

Setiausaha NUBE, J Solomon berkata, kenyataan dibuat Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengenai tindakan boleh diambil oleh majikan dalam isu tersebut dibimbangi akan memberi kesan buruk kepada kumpulan pekerja.

“NUBE bimbang kerana kenyataan tidak cermat oleh Menteri Sumber Manusia boleh menyebabkan diskriminasi tidak adil terhadap pekerja yang tidak mengambil vaksin seperti pemecatan tidak adil dan diskriminasi oleh majikan dalam proses pengambilan pekerja.

“NUBE juga bimbang kerana kenyataan Menteri telah menimbulkan kegelisahan dan tekanan mental yang tidak wajar dalam kalangan pekerja yang telah pun mengalami tekanan teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 3 September lalu, pekerja yang enggan menerima vaksin masih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 walaupun tiada akta khas berkaitan vaksinasi.

Saravanan berkata, AKKP 1994 itu masih boleh dikuatkuasakan berikutan risiko kesihatan tempat kerja jika ada dalam kalangan pekerja yang tidak menerima vaksin.

Sementara itu, Solomon berkata, pihaknya juga berpandangan kerajaan seharusnya terlebih dahulu mengadakan pertemuan melibatkan semua pihak berkepentingan seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) sebelum membuat sebarang tindakan atau kenyataan dalam isu tersebut.

“NUBE berharap Kementerian Sumber Manusia akan menghormati semangat dialog sosial dengan semua pihak berkepentingan untuk berusaha mencapai perlindungan sosial menyeluruh bagi semua pekerja terlibat,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!