X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Pengecualian sewa kepada usahawan PKS terjejas Covid-19 di Sarawak

Gambar hiasan
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak bersetuju memberikan pengecualian bayaran sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi di 15 premis kilang yang siap dibina (Ready-Built Factory atau RBF) di Fasa 3, Demak Baru Industrial Park di sini selama enam bulan, bermula Julai lepas.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, keputusan itu melibatkan pengecualian bayaran sewa berjumlah RM123,750 di bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi meringankan beban kos operasi usahawan PKS terbabit ekoran pandemik Covid-19.

“Kerajaan Sarawak turut memberi pengecualian bayaran sewa hingga 31 Disember 2021 kepada PKS yang beroperasi di premis perniagaan milik badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri membabitkan nilai RM2 juta,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Selasa.

Diskaun 50 peratus sewa turut diberikan kepada 3,200 penyewa Skim Perumahan Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC) dan 10,000 penjaja yang berdaftar dan menyewa pasar serta gerai di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga 31 Disember ini.

“Selain itu, diskaun sehingga maksimum 25 peratus diberikan untuk bil air dan elektrik, 30 peratus untuk cukai pintu dan 30 peratus untuk cukai tanah bagi mengurangkan beban rakyat termasuk golongan usahawan dan semua bantuan ini masih dalam pelaksanaan hingga Disember 2021,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta juga telah diluluskan kerajaan negeri masing-masing untuk geran Program Graduan Ke Arah Keusahawanan (Gerak) dan Program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).

“Setakat Ogos, sebanyak 264 daripada 525 permohonan untuk program Gerak telah diluluskan dengan nilai geran berjumlah RM3.34 juta, manakala 388 daripada 596 permohonan untuk program USTEV telah diluluskan dengan nilai geran yang diluluskan berjumlah RM4.42 juta,” katanya.

Mengenai status pelaksanaan program-program bantuan yang dilaksanakan oleh kementeriannya, Awang Tengah berkata, seramai 1,463 permohonan untuk bantuan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) bagi usahawan B40, pengusaha mikro dan kecil telah diluluskan dengan nilai kelulusan RM48 juta.

Selain itu, beliau berkata, seramai 411 permohonan untuk Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) bagi PKS bumiputera telah diluluskan dengan nilai pinjaman RM30.13 juta. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!