X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Wanita rugi RM32,400 ditipu Macau Scam

- Foto hiasan
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pekerja swasta mengalami kerugian RM32,400 ditipu selepas mendapat panggilan kononnya daripada pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis yang mendakwa dia terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram, dalam kejadian di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 21 tahun itu memaklumkan pada mulanya dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa sebagai pegawai LHDN pukul 10 pagi semalam.

Beliau berkata, individu itu memaklumkan bahawa syarikat yang didaftarkan atas nama wanita berkenaan mempunyai tunggakan cukai (syarikat) RM17,600 walaupun dia menafikan mempunyai tunggakan cukai malah tidak pernah mempunyai syarikat.

"Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Star di Kedah dan mendakwa wanita itu terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram serta akaunnya akan dibekukan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Katanya, wanita yang terkejut dan panik dengan dakwaan itu telah mengikut arahan suspek termasuk tidak memaklumkan perkara berkenaan kepada sesiapa dan menyerahkan maklumat perbankannya.

Noorzainy berkata, pekerja swasta itu memberikan semua maklumat perbankan termasuk kod verifikasi kepada suspek yang mengaku pegawai polis itu, dan tidak lama kemudian dia menerima mesej daripada pihak bank yang memaklumkan wang simpanannya sebanyak RM32,400 telah dipindahkan ke akaun bank lain.

"Wanita itu cuba menghubungi semula suspek berkenaan namun gagal dan dia yang mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian itu petang semalam (Isnin)," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan pemilik akaun yang digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa serta rangkaian sindiket Macau Scam. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!