NRF enggan mengaku kalah

Bendera gerakan Taliban dikibarkan di luar pejabat gabenor di daerah Annaba di Lembah Panjshir. Gambar kecil: Ahmad Massoud. - Foto: Agensi Gambar kecil: Ahmad
Bendera gerakan Taliban dikibarkan di luar pejabat gabenor di daerah Annaba di Lembah Panjshir. Gambar kecil: Ahmad Massoud. - Foto: Agensi Gambar kecil: Ahmad
A
A
A

BAZARAK - 'Rakan seperjuangan kami, walau di mana anda berada, saya menggesa anda untuk 'bangkit' demi kehormatan dan kebebasan tanah air kita'.

Gesaan untuk melancarkan gerakan kebangkitan itu dinyatakan pemimpin kumpulan penentang, Barisan Penentangan Nasional (NRF), Ahmad Massoud menerusi rakaman audio yang turut diterima media pada Isnin selepas Taliban mendakwa telah menguasai kubu kuat gerakan itu di Lembah Panjshir.

"Ayuh bangkit dan menyahut seruan kami untuk melakukan penentangan! Kami sentiasa menyokong dan bersama dalam apa jua bentuk perjuangan anda untuk menyelamatkan tanah air kita hingga ke titisan darah terakhir," tegasnya.

Beliau turut mengesahkan anggota NRF masih menguasai kawasan strategik di Panjshir dan akan meneruskan pertempuran untuk menyekat kemaraan Taliban.

Menerusi rakaman audio itu, Massoud juga menggesa komuniti antarabangsa untuk bertindak segera terhadap 'tragedi kemanusiaan' di Afghanistan dan menyelar tindakan sebahagian negara yang memberi peluang kepada Taliban untuk memegang tampuk pemerintahan di Kabul.

Difahamkan, Massoud menggunakan pendekatan lebih tegas sehari selepas beliau menyambut baik usaha mengadakan rundingan untuk meredakan situasi tegang di Panjshir.

Situasi di Panjshir semakin membimbangkan selepas jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengisytiharkan gerakan itu berjaya menawan wilayah tersebut dan turut memberi amaran terhadap sebarang cubaan pihak yang mahu menentang pemerintahan mereka.

Taliban turut mengeluarkan rakaman video memaparkan bendera gerakan mereka dikibarkan di kediaman gabenor di Panjshir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, CNN-New18 memetik kenyataan beberapa sumber NRF melaporkan pasukan tentera Pakistan turut membantu Taliban dalam pertempuran untuk menguasai kubu kuat kumpulan penentang tersebut.

Pada Sabtu lalu, ketua risikan Pakistan, Leftnenan Jeneral, Faiz Hameed dilaporkan tiba di Kabul selepas beberapa pegawai kanan di Islamabad memaklumkan beliau yang mengetuai Agensi Risikan Antara Perkhidmatan (ISI) akan membantu Taliban menyusun semula struktur tentera Afghanistan.

Perkembangan itu sekali gus mengesahkan dakwaan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini yang mendakwa Pakistan telah sekian lama menyokong gerakan Taliban walaupun sering dinafikan Islamabad. - Agensi

Info:

>Panjshir merupakan satu-satunya wilayah yang bebas daripada cengkaman Taliban selepas gerakan itu kembali berkuasa pada pertengahan bulan lalu.

>Ahmad Massoud merupakan anak kepada bekas komander kumpulan gerila, Ahmad Shah Massoud yang melancarkan penentangan terhadap pendudukan Kesatuan Soviet antara 1979 dan 1989.

>Beliau memimpin ribuan anggota militia dan saki-baki tentera Afghanistan serta unit pasukan khas yang menentang Taliban.