Pakistan sambut baik hasrat Taliban sertai CPEC

 Sheikh Rashid Ahmed - Foto Facebook
Sheikh Rashid Ahmed - Foto Facebook
A
A
A

ISLAMABAD - Pakistan pada Isnin menyambut baik kenyataan jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengenai hasrat untuk bergabung dengan Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) yang bernilai berbilion dolar, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Satu perkara yang baik jika mereka sertai CPEC," kata Menteri Dalam Negeri Pakistan Sheikh Rashid Ahmed kepada wartawan di Islamabad.

Pada Isnin, jurucakap Taliban, Mujahid berkata, mereka mahukan hubungan baik dengan negara jiran dan ingin menyertai projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) Beijing.

“Taliban mahukan 'hubungan baik' dengan semua jiran termasuk China. Keamanan dan kestabilan adalah prasyarat pelaburan (di Afghanistan)," kata Mujahid ketika menjawab pertanyaan media mengenai potensi pelaburan China di Afghanistan.

CPEC bernilai AS$64 bilion meliputi rangkaian jalan raya, landasan kereta api dan saluran paip yang bertujuan menghubungkan wilayah barat laut Xinxiang dengan pelabuhan wilayah Gawadar di barat daya Pakistan.

Meskipun koridor itu akan memberi China akses mudah ke Afrika dan Timur Tengah, ia bakal menjadikan Pakistan memperoleh berbilion dolar dan memacu aktiviti perniagaan di sepanjang jaringan jalan raya menggantikan Laluan Sutera. - Bernama

Artikel Berkaitan: