Johor mohon gelembung perjalanan di Muar, Mersing dan Desaru

Gambar kecil: Onn Hafiz Ghazi
Gambar kecil: Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menggesa agar gelembung perjalanan dilaksanakan di tiga kawasan pelancongan di sini yang sudah mencapai tahap vaksinasi lengkap lebih 80 peratus.

Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tiga kawasan itu ialah Muar, kepulauan Mersing dan Desaru.

"Pertamanya membabitkan Muar yang terkenal dengan panorama cantik, bangunan bersejarah dan makanan enak kerana telah mencapai imuniti kelompok pada 4 September lalu. Seramai 168,396 penduduk atau 84.24 peratus penduduk di situ sudah menerima dos vaksin lengkap.

"Kedua ialah kepulauan Mersing atau lebih dikenali sebagai 'Maldives of Malaysia' yang telah mencapai 100 peratus vaksinasi atau 594 orang bagi keseluruhan penduduk dan pekerja pusat peranginan.

"Ketiga ialah Desaru Coast yang dinobatkan sebagai antara tempat terhebat dunia pada 2021 oleh majalah Time. Tempat ini telah mencapai 91 peratus vaksinasi atau 1,210 pekerja yang sudah menerima dos kedua," katanya menerusi Facebook beliau pada Selasa.

Onn berkata, berdasarkan hasil perbincangan dengan Tourism Johor, pihaknya memohon agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempertimbangkan tiga kawasan tumpuan di Johor bagi pelaksanaan inisiatif gelembung pelancongan di Johor.

"Saya percaya gelembung pelancongan ini akan memberikan sinar baharu kepada pemain industri pelancongan Johor yang suram sejak bermulanya pandemik Covid-19.

"Justeru, saya berharap dan memohon jasa baik kerajaan Pusat supaya dapat mempertimbangkan permohonan Johor bagi membuka kembali sektor pelancongan negeri ini yang sudah lengkap vaksinasi," katanya.

Artikel Berkaitan: