Remaja ditipu tawaran pelaburan 'bunian'

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Teruja dijanjikan pulangan lumayan hanya dalam tempoh lima hari melabur, seorang remaja berputih mata apabila kerugian hampir RM5,000 selepas diperdaya menyertai pelaburan 'bunian'.

Menurut sumber, remaja lelaki berusia 19 tahun mendakwa berurusan dengan seorang lelaki bagi tujuan itu, sejak Sabtu lalu.

Katanya, mangsa mendakwa menghubungi suspek melalui WhatsApp selepas tertarik dengan iklan pelaburan ditawarkan yang dihantar melalui WhatsApp dinamakan sebagai 'FX PRO INVESTMENT BERHAD'.

"Mangsa diminta mengeluarkan RM500 sahaja sebagai modal dan dijanjikan akan mendapat pulangan hampir RM10,000 hanya dalam tempoh lima hari.

"Tertarik dengan tawaran dijanjikan, tanpa berfikir panjang mangsa terus bersetuju dan pada hari sama juga, dia memindahkan wang RM500 ke dalam akaun bank diberikan seperti diarahkan suspek.

"Seterusnya, mangsa diminta memasukkan sejumlah wang lagi ke dalam akaun sama kononnya sebagai bayaran pendaftaran akaun pelaburan sebelum berbuat demikian keesokan harinya, pada 24 Febuari lalu," katanya.

Sumber berkata, kemudian, mangsa sekali lagi dihubungi suspek sebelum mengarahkan agar memasukkan wang lagi bagi tujuan mengeluarkan duit dalam pelaburan untuk dipindahkan ke dalam akaun mangsa.

"Tanpa curiga mangsa hanya mematuhi arahan diberikan dengan memindahkan jumlah wang diminta ke dalam akaun sama meskipun diarahkan berbuat demikian sebanyak dua kali dalam tempoh sehari.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa diminta menunggu hanya 30 minit selepas itu, keuntungan dijanjikan akan dimasukkan ke dalam akaun peribadi remaja itu," katanya.

Bagaimanapun, sumber berkata, wang keuntungan yang dijanjikan tidak diterima mangsa selepas sehari menunggu sebelum mengambil keputusan menghubungi suspek untuk bertanya status wang berkenaan.

"Tetapi amat mengejutkan mangsa selepas mendapati nombor telefonnya sudah di sekat oleh suspek dan yakin dirinya sudah ditipu, mangsa nekad membuat laporan polis pada Jumaat lalu untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.