Mohamad Rafie nafi anjur sidang akhbar keluar parti

Mohamad Rafie menafikan beliau akan mengadakan sidang akbar jam 5 petang Isnin.
Mohamad Rafie menafikan beliau akan mengadakan sidang akbar jam 5 petang Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Ketua Cabang Seremban, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek menafikan yang beliau akan mengadakan sidang akhbar petang Isnin untuk mengumumkan keluar parti.

Perkara itu tular di aplikasi WhatsApp yang menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan itu bersama tiga lagi ADUN PKR akan mengadakan sidang akhbar pada jam 5 petang ini di Pusat Khidmat ADUN Ampangan.

Mohamad Rafie yang juga ADUN Ampangan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau percaya perkara itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk mengeruhkan lagi keadaan.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita menyokong penuh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya antara pengasas PKR.

"Saya fikir ada pihak lain yang cuba mengeruhkan dan memburukkan lagi suasana," katanya.

Beliau tidak menafikan dalam kalangan penyokong parti yang berpendapat prestasi menurun Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Menurutnya, masalah seperti itu lumrah dalam organisasi dan beliau turut mengibaratkan seperti kocakan air dalam cawan.

"Bagi saya bila ada teguran, kita bersiap positif terima dalam keadaan matang dan perbetulkan kelemahan kita.

Artikel Berkaitan:

"Apa pun bagi saya perkara yang berlaku ini lebih kepada masalah dalaman parti dan perlu diselesaikan selain tidak perlu dihebahkan kepada media," katanya.

Beliau turut menegaskan yang Pakatan Harapan Negeri Sembilan masih kekal utuh bersama.