Perdana Menteri perlu bina kepercayaan semua pihak: Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil peluang membuka lembaran baharu di awal pentadbirannya dengan membina kepercayaan dan keyakinan semua pihak.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia sebagaimana dibuat dalam pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH), bukannya meneruskan tindakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membelakangkan Parlimen.

Menurutnya, PH sebelum ini menyatakan kesediaan memberikan komitmen tidak menyulitkan proses undi percaya untuk pentadbiran Ismail Sabri dengan syarat beliau melaksanakan agenda penambahbaikan dan dasar-dasar yang bersifat prorakyat.

"Namun dengan pelantikan kabinet yang mengekalkan sebahagian besar watak-watak yang gagal (termasuk pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara) sebelum ini dan keengganan melakukan undi percaya boleh disimpulkan kepada dua kemungkinan.

"Pertama, Ismail Sabri tidak yakin sokongan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuknya di dalam Parlimen.

"Kedua, Ismail Sabri langsung tidak mahu mempertimbangkan sebarang penambahbaikan dicadangkan PH," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, pada Isnin.

Pada Sabtu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataannya menjelaskan, Ismail Sabri tidak perlu membuat undi percaya di Dewan Rakyat memandangkan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah melantiknya sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Idrus, undi percaya Perdana Menteri boleh menjejaskan kuasa Agong.

Artikel Berkaitan:

Nik Nazmi berkata, kenyataan Idrus itu adalah bertentangan dengan titah Agong sebelum ini agar Perdana Menteri baharu yang dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Tambah beliau, walaupun tidak diadakan undi percaya, Ismail Sabri akan berhadapan undi Ucapan Titah Tuanku dan Belanjawan yang dilihat sebagai menyamai undi percaya.