Suami terlibat dadah, isteri terpaksa tanggung keluarga

Antara keluarga yang menerima bantuan daripada Skuad Antidadah Temerloh.
Antara keluarga yang menerima bantuan daripada Skuad Antidadah Temerloh.
A
A
A

TEMERLOH - Penyalahgunaan dadah dalam kalangan suami menyebabkan golongan isteri terpaksa berdepan kesukaran untuk menanggung kehidupan keluarga sendirian.

Situasi kian bertambah getir berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara hingga menyebabkan ada golongan isteri kehilangan pekerjaan sekali gus kehilangan pendapatan.

Pengerusi Skuad Antidadah Temerloh, Abdul Razak Endut, berkata, sepanjang penglibatannya dalam mengagihkan bantuan, ada golongan isteri yang perlu berjuang bersendirian meneruskan hidup bersama anak-anak selepas suami berada di pusat pemulihan dadah.

Menurutnya, walaupun ada suami yang tidak berada di pusat, namun mereka tetap mengabaikan keluarga kerana dadah.

"Justeru itu, hari ini kita mengagihkan sedikit bantuan bukan sekadar kepada asnaf tetapi keluarga yang ada terlibat dengan dadah.

"Kita harap dengan bantuan dan serba sedikit risalah berkaitan dadah yang kami berikan ini dapat memberi kesedaran kepada keluarga sasaran serta masyarakat sekelilingnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika Program Skuad Cakna 2.0 Ziarah Kasih anjuran Skuad Antidadah Temerloh, di sini pada Ahad.

Sementara itu, beliau turut menyeru kepada golongan muda agar menjauhi dadah agar keharmonian keluarga terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, banyak keluarga yang rosak dan musnah hanya kerana najis dadah.

"Ini adalah usaha kecil daripada pihak kami dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dadah.

"Dengan slogan 'Jauhi Dadah Dekati Kami', kita harap lebih ramai dapat bersama dalam menggerakkan kempen seperti ini agar negara benar-benar merdeka daripada dadah," jelasnya lagi.