Empat pemandu kereta mewah ditahan berlumba lawan arus

Empat pemandu kereta mewah ditahan kerana berlumba di Lebuhraya Kesas.
Empat pemandu kereta mewah ditahan kerana berlumba di Lebuhraya Kesas.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan empat lelaki menguji kelajuan kereta mewah berhampiran kawasan Awan Besar di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) membawa padah apabila mereka ditahan di sini awal pagi Ahad.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, kesemua mereka ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan yang bermula jam 10 malam pada Sabtu dan tamat sekitar jam 4.45 pagi Ahad.

"Pada jam 11.20 malam, pasukan tangkapan berada di Lebuhraya Kesas arah Klang terlihat dengan jelas dua buah kereta Nissan R35 keluar dari kawasan rehat dan rawat (RNR) Awan Besar secara melawan arus dan memberhentikan kereta secara selari.

"Dua buah kereta itu terus memecut laju bermula dari kilometer (km) 47.8 sehingga km 47.7 kemudian telah melawan arus di susur RNR menghala semula ke km 47.8. Mereka melakukan aksi sama sebanyak tiga pusingan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Nadzri berkata, sekitar jam 11.50 malam, dua lagi kereta jenis BMW M6 dan Mercedes Benz A14 pula mengulangi perbuatan yang sama sebanyak dua pusingan.

"Sekitar jam 12.30 tengah malam kesemua suspek yang berusia 24 hingga 34 tahun itu telah berhenti di kawasan parkir RNR Awan Besar arah Klang dan pasukan tangkapan memperkenalkan diri sambil menunjukkan kad kuasa polis sebelum membuat tangkapan," katanya.

Sementara itu, lapan remaja berusia diantara 19 hingga 24 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dalam operasi berasingan di km 16 Lebuhraya Grand Saga dan km 8.8 Lebuhraya Persekutuan arah Klang.

“Ada antara mereka bersaing sesama sendiri dan melakukan pelbagai aksi seperti zig-zag dan superman.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, semua remaja berkenaan berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Nadzri berkata, kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.