Laksana SOP ketat di Langkawi

Pembukaan semula Pulau Langkawi pada 16 September ini perlu dilaksanakan dengan SOP yang ketat. Gambar Kecil : Jacky Choong
Pembukaan semula Pulau Langkawi pada 16 September ini perlu dilaksanakan dengan SOP yang ketat. Gambar Kecil : Jacky Choong
A
A
A

ALOR SETAR - DAP Langkawi menyarankan pembukaan semula Pulau Langkawi di bawah program gelembung perjalanan mulai 16 September ini dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ketua DAP Parlimen Langkawi, Jacky Choong Kee Zan berkata, keputusan kerajaan memilih pulau peranginan itu sebagai projek rintis pembukaan semula sektor pelancongan pastinya khabar menggembirakan kepada penduduk khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan.

Bagaimanapun katanya, timbul juga kerisauan dalam kalangan penduduk pulau lagenda itu tentang kemungkinan berlakunya penularan wabak yang serius andai kemasukan pelancong nanti tidak dikawal selia dengan sebaiknya.

"Justeru, saya menyeru agar pihak berwajib menetapkan SOP ketat serta mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pematuhan SOP semua pihak sama ada operator pelancongan atau pelancong itu sendiri.

"Saringan dan pemantauan di pintu-pintu masuk ke pulau peranginan ini juga perlu diperketatkan untuk mengelakkan penularan wabak," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Kee Zan, pihaknya menyarankan penjarakan sosial semasa di dalam feri, pesawat atau pengangkutan awam perlu diamalkan sepenuhnya dengan kapisiti penumpang pengangkutan awam mesti dihadkan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus.

Tambahnya, pemakaian pelitup muka mesti diwajibkan kepada semua pihak termasuk pelancong yang masuk ke Pulau Langkawi.

"Kapasiti pengunjung ke premis pelancongan juga perlu dihadkan pada kadar lebih bersesuaian dan selamat dengan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan pada setiap masa untuk memantau dan memastikan operator dan pelancong mematuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Antara lain, menurut Kee Zan, pihak berwajib perlu memastikan semua pengusaha restoran sentiasa mengamalkan kebersihan dan menganjurkan pelanggannya mematuhi SOP, penjarakan sosial dan mematuhi kapasiti meja dibenarkan.

"Hal ini berikutan ‘dine-in’ merupakan salah satu punca yang paling cepat untuk berlakunya penularan virus, malah proses sanitasi atau nyah kuman perlu dibuat dari semasa ke semasa untuk keselesaan dan keyakinan pelanggan dan pelancong," katanya.

Menurutnya, langkah pencegahan wabak perlu diteruskan dan tidak seharusnya dikendurkan walaupun vaksinasi di daerah itu telah melepasi tahap imuniti kelompok yang disasarkan iaitu dengan kadar 90.2 peratus pemberian dos pertama dan 85.8 peratus pemberian dos kedua.

Tambahya, pembukaan semula sektor pelancongan di Langkawi dengan pengawalan ketat pihak berwajib adalah merupakan suatu keputusan yang wajar dan tepat.

"Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) Langkawi disaran merumus dan merangka langkah-langkah makro untuk membantu pemulihan ekonomi dan industri pelancongan di Langkawi yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19 melanda negara sejak awal tahun lalu," katanya.

Ujar Kee Zan, pihaknya berharap sektor-sektor ekonomi lain di Langkawi akan turut mendapat manfaat dan sebaliknya kadar penularan serta jangkitan Covid-19 akan menurun dengan pembukaan semula sektor pelancongan ini.

Pada 2 September lepas, kerajaan bersetuju membuka sektor pelancongan di beberapa lokasi di bawah program gelembung pelancongan berdasarkan syarat ditetapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka semula pada 16 September kepada pelancong tempatan.