Pertukaran pucuk pimpinan PAFA punca prestasi Perak FC merosot

Hasnul Zulkarnain
Hasnul Zulkarnain
A
A
A

PERTUKARAN pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) ketika penswastaan bermula antara punca kemerosotan prestasi pasukan Perak FC.

Bekas Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mendedahkan perubahan tersebut banyak memberi kesan kepada perancangan pasukan terutamanya melibatkan kewangan dan membabitkan penaja-penaja.

Menurutnya, pada masa sama pengurusan baharu pula tidak kelihatan serius untuk meneruskan kesinambungan pasukan sedia ada sehingga menyebabkan berlaku hubungan agak dingin antara pengurusan, barisan kejurulatihan dan pemain-pemain kerana sumber kewangan Perak FC yang meruncing.

"Saya memahami, bukan mudah untuk mencari dana yang besar dalam tempoh yang singkat ditambah pula dengan pandemik Covid-19 yang membataskan sumber kewangan.

"Walaupun ada bantuan dana daripada kerajaan negeri tetapi ia masih belum mencukupi untuk menampung kos gaji pemain-pemain utama," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai prestasi buruk Perak FC selepas disahkan tersingkir daripada saingan Liga Super seterusnya akan bermain di Liga Perdana musim hadapan.

Beliau berkata, satu lagi kelemahan pasukan ketika ini dari adalah kesilapan memilih pemain import kerana mereka yang dipilih tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan malah pemain tempatan dilihat lebih lebih menonjol.

Hasnul Zulkarnain mengakui sedih apabila ulang tahun ke-100 penubuhan PAFA disambut dengan kekecewaan apa terpaksa meninggalkan liga utama selepas tiga tahun menjuarai Piala Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau melihat antara perubahan drastik yang perlu dilakukan oleh Perak FC adalah menjadi sebuah entiti syarikat yang jelas tanpa ada sebarang kaitan dengan PAFA.

"Peminat bola sepak Perak keliru diantara Perak FC dan PAFA sehingga berlakunya tuding menuding antara satu sama lain. Perak FC perlu menunjukkan secara jelas entiti sebuah syarikat swasta dan bekerjasama dengan PAFA dalam soal pembangunan bola sepak negeri.

"Pengurusan perlu segera membentuk pasukan dengan perancangan teliti. Mereka perlu memilih jurulatih yang punyai visi dan taktikal bola sepak moden. Apa yang paling penting, pembentukan pasukan Perak perlu disesuaikan dengan bajet kewangan," katanya.

Jelas beliau, sekiranya pasukan mahukan kejayaan segera, pengurusan perlu mengambil risiko yang tinggi dengan menyediakan bajet mewah untuk membeli pemain-pemain yang berkualiti.

Bagaimanapun Hasnul Zulkarnain berpandangan musim pertama berada di Liga Perdana, pasukan perlu bermula dengan barisan pemain tempatan yang punyai daya saing dan jati diri anak perak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu lagi, jika kelab mempunyai kemampuan kewangan, maka mereka boleh membeli dua atau tiga pemain import dar negara Asia Tenggara.

Dalam pada itu, beliau menggesa supaya PAFA hanya fokus menguruskan persatuan bola sepak di daerah-daerah untuk melahirkan pemain-pemain berbakat.

Menurutnya, dalam masa yang sama, program pembangunan di peringkat belia perlu diberi perhatian dengan mewujudkan liga daerah mengikut peringkat umur selain daripada kejohanan bola sepak di peringkat sekolah-sekolah di Perak.

Hasnul Zulkarnain dipilih sebagai Presiden PAFA pada 21 Julai 2018, namun meletakkan jawatan lima bulan kemudian akibat tekanan selepas Perak menjuarai Piala Malaysia.